SEREMBAN, 29 April (Bernama) -- Kerajaan akan mewartakan kadar had laju maksimum di kawasan sekolah daripada 50 kepada 30 kilometer sejam (km/j) bagi meningkatkan keselamatan khususnya membabitkan pelajar sekolah dalam masa terdekat.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata perkara itu dalam proses digazetkan, tetapi keputusan dasar telah dibuat melalui Jawatankuasa Kabinet Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya.
"Dalam Jawatankuasa Kabinet Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya, kita telah membuat keputusan dasar untuk merendahkan had kelajuan di semua kawasan zon sekolah daripada 50km sejam kepada 30km sejam.
"Ini merupakan satu saintifik data yang telah dibuat kajian, jika dapat dikurangkan kepada 30km sejam, risiko kematian atau akibat daripada kemalangan agak rendah. Setiap pertambahan 10km kelajuan akan meningkatkan risiko kematian," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Malaysia kali Ke-61 di sini hari ini.
Beliau berkata selain mewartakan had kelajuan maksimum, pihak berkuasa juga perlu menyediakan kemudahan dan keperluan infrastruktur jalan raya di kawasan zon sekolah seperti papan tanda amaran dan garisan kuning, agar pengguna jalan raya sedar dan memperlahankan kenderaan mereka.
Loke berkata secara purata kemalangan maut di kawasan sekolah adalah 70 kes setiap tahun.
Sementara itu, Loke berkata mesyuarat MKJR hari ini memberi fokus kepada inisiatif keselamatan jalan raya berasaskan masyarakat tempatan antaranya program My Safe Road, iaitu intervensi di kawasan berisiko tinggi untuk meminimumkan kematian dan kecederaan parah dalam kemalangan jalan raya.
"Selain itu, MKJR juga akan menumpukan kepada Zon Sekolah Selamat dan Program Fellowship Kepimpinan Keselamatan Jalan Raya, untuk melahirkan pemimpin muda yang boleh menerajui inisiatif keselamatan jalan raya berasaskan Pendekatan Sistem Selamat,” katanya.
Loke berkata pendekatan itu terbukti berkesan dalam mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di negara maju, namun ia memerlukan anjakan paradigma iaitu bukan sekadar menyalahkan sikap pemandu tetapi turut memberi penekanan kepada penambahbaikan sistem secara menyeluruh termasuk aspek keadaan jalan kenderaan had kelajuan dan pematuhan undang-undang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial