AM

Pelajar Lulus SDKA Johor Meningkat 14.48 Peratus

29/04/2025 02:22 PM

KLUANG, 29 April (Bernama) -- Jumlah calon Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) Sekolah Agama Kerajaan Johor 2024 yang lulus menunjukkan peningkatan 14.48 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata SDKA tahun lepas, peratusan kelulusan yang dicatat adalah 83.47 peratus daripada 21,100 calon manakala bagi 2023 pula, sebanyak 68.99 peratus daripada 27.764 calon.

Beliau berkata mata pelajaran teras al-Quran dan Hafazan menunjukkan peratus kelulusan tertinggi 99.93 peratus, diikuti mata pelajaran wajib Tafsir al-Quran dan Hadis mencatat kelulusan tertinggi 97.07 peratus manakala mata pelajaran elektif Tajwid turut merekodkan kelulusan tertinggi 81.42 peratus.

“Sebanyak 8,479 pelajar mendapat Pangkat 1 dan 4,761 pelajar mendapat Pangkat 2. Daerah Kota Tinggi dianugerahkan daerah terbaik dengan 17 sekolah mencatat kelulusan 100 peratus.

“Sekolah terbaik pula Sekolah Agama (SA) Penjara Simpang Renggam, Kluang apabila 28 pelajarnya mendapat keputusan Pangkat 1,” katanya kepada pemberita selepas Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan SDKA 2024, di Penjara Simpang Renggam, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor Nasri Md Ali dan Wakil Rasmi Pengarah Penjara Simpang Renggam, Penolong Komisioner Penjara Nor Hazran Che Abdullah.

Sementara itu, pelajar terbaik SDKA 2024 Muhammad Farid Aiman Sarmin, 14, dari Sekolah Agama (SA) Bandar Benut (Annur), Pontian dengan pencapaian 12A1 (Pangkat 1) berkata tumpuan di dalam kelas adalah antara rahsia kejayaannya.

“Saya juga sering mengingati kata-kata guru iaitu ‘jika selalu bantu orang, Allah akan bantu kita’ dan sebab itulah saya sering membantu serta berkongsi ilmu dengan rakan-rakan...mungkin sebab itulah Allah bantu saya dapat keputusan cemerlang, selain sering solat tahajud dan berdoa,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Mohd Fared berkata kerajaan negeri menerima peruntukan RM20 juta dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta RM15 juta daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bagi tujuan naik taraf dan baik pulih sekolah agama di negeri itu.

“Kita tumpu baik pulih keperluan asas terlebih dahulu seperti tandas, bumbung dan kerosakan lain. Soal keceriaan itu perkara biasa…apabila keperluan dan infrastruktur di sekolah berada dalam keadaan baik dan selesa barulah akan menggalakkan ibu bapa untuk menghantar anak mereka,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan