AM

Dua Set Pertama ETS3 Siap Dipasang, Dijangka Beroperasi Ogos - Loke

25/04/2025 06:38 PM

IPOH, 25 April (Bernama) -- Dua set pertama Tren Elektrik (ETS3) bagi laluan selatan ke Johor Bahru Sentral telah tiba di negara ini dan siap dipasang, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata kedua-dua set tren jenis Electric Multiple Unit (EMU) itu sedang menjalani ujian teknikal dan sekiranya semuanya berjalan lancar, ia akan mula beroperasi menjelang Ogos tahun ini. 

“Selain dua set awal ini, baki lapan set tren sedang dipasang secara berperingkat di kilang pemasangan CRRC Rolling Stock Center di Batu Gajah.

“Kesemua 10 set dijadualkan siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang awal tahun hadapan bagi memperkukuh kapasiti perkhidmatan rel negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu beliau melakukan lawatan ke Depoh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Batu Gajah, dekat sini. 

Loke berkata kilang pemasangan CRRC di Batu Gajah kini mempunyai lebih 85 peratus tenaga kerja tempatan, sekali gus mencerminkan potensi besar dalam pemindahan pengetahuan dan kepakaran kepada bakat tempatan.

“Komposisi tenaga kerja yang tinggi ini bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan industri rel nasional tetapi juga meletakkan Malaysia di landasan yang kukuh untuk menjadi hab kejuruteraan rel serantau pada masa hadapan. Kerajaan akan terus komited untuk memperkukuh sistem pengangkutan awam negara demi kemudahan dan keselesaan rakyat,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan