AM

Menara KL Rai Kunjungan Semula Pelawat Dengan Jenama Lebih Segar, Tawaran Menarik

25/04/2025 05:17 PM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Menara Kuala Lumpur (Menara KL) antara mercu tanda ikonik di Malaysia akan dibuka semula kepada orang ramai di bawah pengurusan baharu esok dengan jenama lebih segar merangkumi restoran berputar panoramik ORBIT dan HEMISFERA, dewan serba mewah untuk acara eksklusif.

Seperti yang diumumkan Kementerian Komunikasi sebelum ini, pengoperasian, pengurusan dan penyelenggaraan Menara KL kini diuruskan LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM) berkuat kuasa 1 April 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif LSHSM Khairil Faizal Othman berkata pembukaan semula ini menandakan kesinambungan operasi dan komitmen syarikat untuk membentuk Menara KL yang serba moden untuk memenuhi keperluan masa depan, sambil memelihara kepentingannya sebagai ikon negara.

“Kami sangat berbesar hati diberi amanah untuk menguruskan ikon negara ini. Pembukaan semula ini mencerminkan dedikasi kami untuk menjadikan Menara KL memenuhi keperluan masa depan menerusi paduan legasi dengan inovasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semasa penutupan sementara menara itu, LSHSM melaksanakan beberapa kerja penambahbaikan untuk meningkatkan pengalaman pengunjung dan memastikan Menara KL kekal unggul di antara mercu tanda terkemuka dunia.

“Penjenamaan semula ini hanyalah langkah pertama menuju transformasi penuh yang akan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.

ORBIT menawarkan tetamu pengalaman menjamu selera di restoran berputar sambil disajikan pemandangan indah pada harga RM49 untuk kanak-kanak dan RM99 bagi dewasa manakala HEMISFERA kini dibuka untuk tempahan, memenuhi permintaan untuk acara-acara berprofil tinggi dan majlis khusus.

Kesemua tarikan utama termasuk Sky Deck, Observation Deck dan pengalaman menjamu selera di ORBIT akan dibuka semula secara berperingkat bermula esok.

Bagi meningkatkan keterlibatan ramai, Menara KL juga melancarkan media sosial rasmi baharu di platform Facebook dan Instagram untuk menyediakan kemas kini, kempen dan hebahan tawaran pada masa nyata.

Menara setinggi 421 meter itu akan beroperasi setiap hari dari 9 pagi hingga 10 malam. Tiket Sky Deck dijual pada harga RM50 untuk pemegang MyKad dan RM28 untuk pemegang MyKid manakala pengunjung antarabangsa akan dikenakan bayaran RM140 untuk dewasa dan RM80 untuk kanak-kanak.

Promosi khas sempena pembukaan semula ditawarkan kepada rakyat Malaysia dengan penambahbaikan lanjut sedang dalam perancangan.

Untuk maklumat lanjut, layari www.kltower.com atau hubungi talian 03-26303033. Tempahan di ORBIT boleh dilakukan dengan menghubungi 03-26303023.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan