AM

Menara KL Dibuka Semula Esok

25/04/2025 11:25 AM

PUTRAJAYA, 25 April (Bernama) -- Menara Kuala Lumpur (Menara KL) akan dibuka semula kepada kunjungan umum bermula 9 pagi esok, menurut Kementerian Komunikasi.

Kementerian Komunikasi menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pembukaan semula itu selari dengan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam menyediakan perkhidmatan serta persekitaran yang kondusif dan selamat kepada pengunjung.

“Ia juga selari dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam menjamin kesejahteraan para pekerja yang terlibat,” menurut kenyataan itu.

Menerusi pengurusan baharu premis Menara KL diterajui syarikat LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM), kerajaan komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang efisien dan berorientasikan pelanggan.

“(Kerajaan turut komited laksana) penambahbaikan berterusan kepada aspek keselamatan dan keselesaan yang boleh menarik minat pengunjung dari dalam dan luar negara,” menurut kenyataan itu.

Pada 17 April, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Menara KL yang ditutup sementara bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan serta menyelesaikan isu berkaitan keselamatan akan dibuka semula secepat mungkin selepas dua aspek utama itu diselesaikan oleh pemegang konsesi baharu, LSHSM.

Kementerian Komunikasi dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan bermula 1 April 2025, pengoperasian, pengurusan dan penyelenggaraan Menara KL diambil alih oleh syarikat LSHSM.

Menurut kenyataan itu, pendudukan syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) di atas tapak Menara KL selepas 31 Mac 2025 adalah tidak sah.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan mengemukakan dua notis pengosongan kepada pihak MKLSB menerusi surat bertarikh 3 dan 9 April 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan