DUNIA

Pendekatan Senyap Anwar Cetus Lembaran Baharu Diplomasi ASEAN Berhubung Myanmar

25/04/2025 04:18 PM

Oleh Tuwaedaniya Meringing & Vijian Paramasivam

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Sebagai Pengerusi ASEAN, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mula merubah pendekatan blok serantau itu terhadap satu daripada krisis paling berlarutan di rantau ini - konflik di Myanmar.

Menerusi penglibatan bijak namun strategik dengan junta tentera Myanmar dan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) yang mewakili pembangkang, Anwar berjaya membawa kedua-dua pihak ke meja rundingan berasaskan pendekatan kemanusiaan – sesuatu yang belum pernah dicapai oleh pemimpin ASEAN sejak rampasan kuasa 2021.

Pencapaian ini memberi isyarat perubahan pendekatan diplomasi ASEAN daripada konsensus pasif kepada penglibatan aktif, sekali gus mengangkat Malaysia sebagai pendamai yang berwibawa dan berprinsip dalam krisis Myanmar yang semakin meruncing.

Kejayaan ini juga menepis kritikan awal terhadap kepengerusian Malaysia yang dikatakan kurang arah tuju, malah membentuk naratif baharu yang lebih positif.

“Pertemuan Perdana Menteri Anwar dengan pemimpin kerajaan tentera dan kumpulan penentang Myanmar adalah langkah penting ke arah memulihkan keamanan di negara itu,” kata Prof Madya Dr Samart Thongfhua, Universiti Prince of Songkla di Pattani, Thailand.

Dalam temu bual bersama Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama, Samart dari Fakulti Sains Politik universiti itu berkata: “Peranan Anwar sebagai Pengerusi ASEAN sangat signifikan kerana komitmennya yang tinggi dalam mencari penyelesaian terhadap krisis Myanmar. Jika berjaya, ia adalah pencapaian besar buat Malaysia secara keseluruhan dan buat Anwar secara peribadi.

“Namun, sekiranya tidak berjaya, beliau tetap akan dikenang sebagai pemimpin yang benar-benar berusaha untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Samart turut menekankan kepentingan kerjasama kolektif ASEAN, dan menyarankan agar semua pihak berkepentingan dilibatkan demi mencapai matlamat bersama.

"Pengerusi ASEAN mesti memanfaatkan platform ASEAN untuk mendapatkan kerjasama daripada negara anggota. Myanmar mesti menunjukkan keterbukaan dan kesediaan untuk menerima cadangan daripada anggota ASEAN.

"Paling penting, semua pihak berkepentingan daripada pelbagai pihak mesti terlibat untuk mencapai matlamat bersama."

Lawatan Anwar ke Thailand pada 17 hingga 18 April lalu, yang menyaksikan beliau bertemu Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan Perdana Menteri NUG Mahn Win Khaing Than, telah mendapat pujian meluas.

Selepas pertemuan itu, Anwar menyifatkan perbincangan yang diadakan sebagai “amat positif”.

Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata dan memberi jaminan keselamatan kepada petugas kemanusiaan, khususnya susulan gempa bumi yang mengorbankan ramai nyawa di Myanmar pada akhir Mac.

Penganalisis politik kanan Kemboja, Dr Kin Phea menyifatkan langkah Anwar mengadakan dialog gencatan senjata dengan pemimpin tentera Myanmar, Hlaing sebagai tindakan strategik.

“Ia satu langkah yang sangat baik oleh Perdana Menteri Anwar untuk berbincang dengan Min Aung Hlaing bagi mencari titik persefahaman.

“Malaysia memainkan peranan penting dalam menyelesaikan krisis ini, dan ia memberi impak besar kepada kestabilan serantau,” kata Ketua Pengarah Institut Perhubungan Antarabangsa Kemboja itu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Malaysia tidak seharusnya hanya berurusan dengan tentera atau negara ASEAN semata-mata.

“Malaysia perlu melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk China, India, Jepun dan Amerika Syarikat untuk mencari penyelesaian secara aman.

“Adalah penting untuk meyakinkan semua pihak agar bersetuju melaksanakan gencatan senjata demi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke dalam negara. Kita tidak boleh mengetepikan pihak tentera kerana mereka juga adalah sebahagian daripada penyelesaian krisis,” katanya.

Kin turut menyatakan bahawa Anwar merupakan pemimpin ASEAN kedua yang bertemu Min Aung Hlaing selepas bekas Perdana Menteri Kemboja Hun Sen pada 2022 semasa negaranya mempengerusikan ASEAN, namun pertemuan Anwar berlaku pada masa Myanmar berdepan dengan cabaran besar.

Inisiatif Malaysia membawa kedua-dua pihak bertelagah ke meja rundingan, dalam konteks diplomasi ASEAN yang selama ini berteraskan prinsip tidak campur tangan, dianggap sebagai langkah berani dan belum pernah berlaku sebelum ini.

Krisis Myanmar yang tercetus sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 telah mencetuskan penentangan besar-besaran, kekacauan politik dan konflik bersenjata. Konsensus Lima Perkara ASEAN yang digariskan pada April 2021 pula masih belum menunjukkan kemajuan ketara.

Namun, pencapaian diplomasi terkini Malaysia menunjukkan perubahan haluan yang ketara.

Penglibatan langsung Perdana Menteri Anwar dengan junta Myanmar dan NUG, atas asas keperluan kemanusiaan, membuka ruang dialog yang jarang berlaku antara kedua-dua pihak.

Pendekatan ini tidak lari daripada semangat Konsensus Lima Perkara, sebaliknya mentafsirkannya secara lebih pragmatik - dengan memberi keutamaan kepada akses bantuan kemanusiaan, penyusunan gencatan senjata dan penglibatan inklusif semua pihak.

Kejayaan Anwar meredakan provokasi serta memastikan keselamatan petugas bantuan selepas rundingan tertutup di Bangkok menunjukkan kekuatan kepimpinan senyap yang telah lama dinantikan ASEAN dalam menangani isu Myanmar.

Ia mencerminkan kepimpinan yang berpaksikan prinsip dan realiti, dan bukannya terikat pada konvensyen semata-mata.

Langkah Malaysia ini wajar dilihat bukan sebagai penyimpangan daripada norma ASEAN, sebaliknya sebagai evolusi yang diperlukan untuk mengembalikan peranan blok serantau itu dalam menangani krisis kemanusiaan dan keselamatan.

Sebarang kritikan yang mengenepikan hakikat ini hanya akan memperkecil potensi transformatif kepengerusian Malaysia di bawah kepimpinan Anwar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan