KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Pengurusan baharu Menara Kuala Lumpur (Menara KL) LSH Service Masters Sdn Bhd (LSHSM) sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Komunikasi bagi menetapkan tarikh pembukaan semula mercu tanda ikonik negara itu selepas melalui kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan menyeluruh.
Ketua Pegawai Eksekutif LSHSM Khairil Faizal Othman berkata Menara KL hanya akan dibuka semula kepada orang ramai setelah semua aspek keselamatan dan fungsi operasi dipulihkan sepenuhnya.
“Kami sedang mempercepatkan kerja di tapak dan berkomunikasi rapat dengan Kementerian Komunikasi untuk mengenal pasti tarikh pembukaan sesuai menara telekomunikasi itu.
“Keutamaan kami adalah untuk memastikan pembukaan semula yang lancar dan tanpa halangan serta menyediakan pengunjung dengan pengalaman bertaraf dunia. Kami yakin ia akan tercapai sebaik sahaja kami dapat memulakan operasi penuh,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata penutupan Menara KL memberi kesan ketara kepada sektor pelancongan negara apabila mercu tanda ikonik itu yang lazimnya menerima 1,000 hingga 1,500 pengunjung sehari kebanyakannya pelancong asing, menghentikan sementara operasinya.
Khairil Faizal berkata berdasarkan penilaian awal menerusi Facility Condition Assessment (FCA) yang selesai pada 21 April lepas, LSHSM kini memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan menyeluruh, dan bukan sekadar menaik taraf kemudahan sedia ada, tetapi juga bagi mengembalikan sepenuhnya fungsionalisme dan tahap keselamatan menara setinggi 421 meter itu.
Antara kerja-kerja yang sedang dilaksanakan termasuk pembersihan kawasan dan pelupusan sisa, pengecatan semula pejabat dan dinding parapet sepanjang teres menara, pemasangan semula tiang bendera, sistem CCTV dan sistem komunikasi, penggantian rumput tiruan di teres menara, naik taraf sistem saliran dan elektrik, pembersihan kubah kaca di lobi utama dan pemasangan peralatan dan perabot baharu di restoran berputar serta pejabat.
“FCA adalah langkah penting untuk merancang penambahbaikan pada masa hadapan dan mengenal pasti kawasan yang memerlukan kerja-kerja penambahbaikan dan renovasi, selain memastikan Menara KL memenuhi standard antarabangsa dan melebihi jangkaan pengunjung,” katanya.
Pada 16 April Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan penutupan sementara Menara KL bermula 17 April untuk memberi ruang kepada pengurusan baharu, iaitu LSHSM, melakukan kerja-kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan demi keselamatan dan keselesaan pengunjung.
LSHSM mendapat konsesi selama 20 tahun bermula 1 April untuk menguruskan menara komunikasi itu selepas tempoh konsesi Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) tamat pada 31 Mac.
Kerajaan bagaimanapun berkata bahawa Menara KL adalah milik kerajaan dan pengambilalihan konsesi hanya melibatkan perubahan pengurusan serta operasi yang telah dilaksanakan melalui notis pelawaan cadangan (RFP).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial