KUCHING, 22 April (Bernama) -- Dasar penetapan 30 peratus perwakilan wanita dalam peranan membuat keputusan adalah satu langkah ke hadapan, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
Beliau bagaimanapun berkata dasar sahaja tidak mencukupi, kerana ia perlu disokong dengan usaha menangani halangan sistemik, merungkai stereotaip yang merosakkan dan mewujudkan persekitaran wanita boleh memimpin dengan yakin tanpa rasa takut terhadap diskriminasi atau gangguan.
“Halangan yang kita hadapi adalah bersifat nyata dan tidak nyata. Norma budaya yang berakar umbi masih mempersoalkan keabsahan kepimpinan wanita.
“Tanpa disedari ia masih bersembunyi di dalam bilik lembaga pengarah, peti undi dan ruang lain, yang menyebabkan wanita berkelayakan tersisih daripada kuasa dan pengaruh,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Ahli Parlimen Wanita ASEAN di bawah Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (WAIPA), sempena Perhimpunan Agung ke-45 AIPA di sini hari ini
Johari berkata dalam era digital, ancaman semakin berkembang, ruang dalam talian yang sepatutnya menghubungkan dan memperkasakan telah menjadi medan perdebatan yang bertujuan membisukan suara wanita.
“Ketidaksamaan ekonomi terus menyekat akses wanita kepada modal, peluang dan alat yang diperlukan untuk maju, tetapi apabila wujud tembok, kita mesti membina pintu. Reformasi undang-undang mesti bergerak melangkaui kuota simbolik ke arah kesamarataan sebenar.
“Program bimbingan mesti berkembang menjadi penajaan, wanita bukan sahaja dibimbing tetapi disokong sepenuhnya. Undang-undang kita mesti diperkukuh untuk melindungi dan norma sosial kita mesti diubah bagi meraikan, bukan hanya bertolak ansur dengan kepimpinan wanita,” katanya.
Beliau berkata WAIPA tahun ini yang bertemakan ‘Menerajui Inovasi, Inklusiviti dan Kepelbagaian Melalui Parlimen Seimbang Gender Demi Persiapan Masa Hadapan ASEAN’ sangat penting dan tepat pada masanya.
“Apabila dunia berubah, institusi kita juga perlu berubah. Ketahanan, kemakmuran dan kesiapsiagaan ASEAN untuk masa depan bergantung kepada potensi penuh semua orang, wanita dan lelaki.
“WAIPA bukan sekadar satu platform, ia adalah pemangkin yang kuat untuk bertindak. Di sini, dialog menjadi dasar, pakatan menjadi gerakan dan komitmen diterjemahkan kepada perubahan sebenar yang boleh diukur,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial