JAKARTA, 22 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mempengerusikan mesyuarat Meja Bulat Kerjasama Industri Halal Malaysia-Indonesia yang bertujuan memupuk kerjasama serantau dan memacu pertumbuhan inklusif kedua-dua negara dalam ekonomi halal global.
Beliau berkata perbincangan mesyuarat itu tertumpu kepada menangani cabaran berkaitan perdagangan, mengenal pasti peluang pelaburan dan memupuk usaha sama antara perusahaan Malaysia dan Indonesia.
Selain itu, katanya, perbincangan meja bulat itu juga menyentuh mengenai usaha memajukan kerjasama Halal ASEAN untuk meneroka pasaran halal global yang diunjurkan bernilai US$5 trilion menjelang 2030.
"Sesi itu menekankan strategi yang boleh diambil tindakan untuk mengekalkan dan mengembangkan aliran perdagangan dua hala sambil memanfaatkan kelebihan setiap negara," katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Zahid berkata kedua-dua negara akan memacu pertumbuhan inklusif dan mewujudkan nilai pelengkap bagi ekonomi Halal masing-masing dengan menyelaraskan Pelan Induk Industri Halal Malaysia 2030 (HIMP 2030) dan pelan hala tuju ekonomi Halal Indonesia.
Mesyuarat Meja Bulat itu, anjuran agensi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Halal Development Corporation Bhd (HDC) meneruskan misinya untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri Halal.
Selain itu ia juga mengketengahkan ekosistem halal Malaysia yang diiktiraf di peringkat global dan peranan penting negara sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, sambil menghimpunkan pemegang kepentingan utama dari Malaysia dan Indonesia.
“Kepentingan usaha kerjasama dalam kalangan anggota ASEAN adalah untuk mengukuhkan ketersambungan serantau dan meningkatkan kedudukan Asia Tenggara dalam ekonomi halal global,” katanya.
Ahmad Zahid berkata Malaysia dan Indonesia telah lama menjalin kerjasama dalam sektor halal, dipacu oleh objektif bersama untuk melengkapkan piawaian dan meningkatkan aliran perdagangan.
Pada Jun 2023, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia memeterai perjanjian kerjasama bagi pengiktirafan bersama sijil Halal.
Perjanjian ini telah memperkemas akses pasaran dengan menghapuskan proses pensijilan yang bertindan bagi mempermudah perdagangan rentas sempadan untuk produk yang diperakui Halal di kedua-dua negara.
Angka perdagangan menyokong kepentingan hubungan ekonomi Malaysia-Indonesia dalam industri Halal, dengan Malaysia mengeksport produk diperakui Halal bernilai RM7.77 bilion ke Indonesia antara 2021 dan 2023.
Mesyuarat meja bulat itu disertai badan-badan utama termasuk JAKIM, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), BPJPH, Komite Nasional Ekonomi dan Kewangan Syariah (KNEKS) dan Kamar Dagang dan Industri Indonesia (KADIN).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial