AM

JAKIM Arah Pengimport Tarik Balik Produk Makanan Dari Indonesia Mengandungi DNA Babi

22/04/2025 10:21 PM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengarahkan pengimport membawa masuk produk makanan daripada pasaran Indonesia yang didapati mengandungi DNA babi (porsin), mengambil tindakan penarikan balik produk terbabit daripada pasaran Malaysia.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata pihak terbabit diarahkan untuk segera menghubungi jabatan itu.

Beliau berkata langkah tersebut sejajar dengan prinsip utama memelihara hak pengguna Muslim dan memastikan integriti sistem pensijilan halal negara sentiasa terpelihara serta diyakini.

“Justeru, JAKIM menyeru orang ramai turut memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat atau aduan sekiranya menjumpai produk tersebut di pasaran menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JAKIM di pautan https://islam.spab.gov.my/eApps/system/index.do,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sirajuddin berkata JAKIM memandang serius pengumuman rasmi Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Indonesia semalam, berhubung penarikan balik produk makanan didapati mengandungi DNA babi (porsin) daripada pasaran Indonesia.

Beliau berkata JAKIM menyokong penuh tindakan tegas dan proaktif pihak berkuasa Indonesia dalam menangani isu pelanggaran pematuhan pensijilan halal serta aspek keselamatan makanan.

“Berdasarkan siaran media rasmi BPJPH, hasil pemantauan bersama dengan BPOM mendapati 11 kelompok daripada sembilan produk makanan dikesan mengandungi DNA babi (porsin) melalui analisis makmal.

“Daripada jumlah tersebut, sembilan kelompok daripada tujuh produk memiliki sijil halal, manakala dua kelompok daripada dua produk tidak memiliki sijil halal.

“Sehubungan itu, sebagai langkah pencegahan awal, JAKIM segera melaksanakan tindakan pemantauan bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bagi menjalankan pemeriksaan menyeluruh kepada produk berkenaan jika dikesan berada di pasaran tempatan,” katanya.

Senarai produk tersebut tersenarai di https://bpjph.halal.go.id/detail/siaran-pers.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan