IPOH, 19 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan sebanyak 22 notis kesalahan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) setelah Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) dilaksanakan sejak Februari tahun lepas.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata pengeluaran notis di bawah akta berkenaan secara keseluruhannya berkurangan sebanyak 88.8 peratus.
Beliau berkata sebelum BeBAs dilaksanakan, sebanyak 197 notis kesalahan di bawah Akta 852 dikeluarkan dengan Kota Bharu di Kelantan dan Jalan Alor di Kuala Lumpur menjadi lokaliti tertinggi menerimanya.
"Penguatkuasaan akta ini dilaksanakan secara berperingkat bertujuan memberi masa yang mencukupi kepada semua pihak yang terlibat untuk memastikan kepatuhan kepada semua peruntukan terutama peruntukan baharu yang telah ditetapkan di bawah akta ini," katanya pada sidang media selepas Program Tinjauan Mesra BeBAs Peringkat Negeri Perak di Meru Raya hari ini.
Lukanisman juga berkata sebanyak 13,307 premis makanan telah mendapat pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) hingga Disember 2024 di seluruh negara.
Beliau berkata pengiktirafan BeSS adalah inisiatif penting dalam mengarusperdanakan budaya kebersihan dan keselamatan di premis makanan di seluruh negara sebagai memenuhi keperluan Akta Makanan 1983 (Akta 281).
Lukanisman berkata pelaksanaan BeSS bukan sahaja memperkasakan pemilik premis untuk menampilkan tahap kebersihan yang cemerlang tetapi juga berupaya meningkatkan standard industri makanan ke tahap lebih tinggi.
Sejumlah enam notis kesalahan dikeluarkan di bawah Akta 281 di lokaliti BeBAs dan berkurangan sebanyak 97 peratus berbanding 203 sebelum BeBAs dilaksanakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial