KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Majlis Media Malaysia yang bakal ditubuhkan dijangka menjadi platform terbaik bagi menangani pelbagai isu sensitif melibatkan organisasi media, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi, yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata perkara itu termasuk isu berkaitan paparan imej Jalur Gemilang tidak lengkap oleh sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina pada Selasa lepas.
“Kita harap apabila Majlis Media diwujudkan, ia menjadi platform yang sesuai untuk menguruskan isu-isu seperti ini. Namun sementara majlis itu masih dalam proses penubuhan, kita uruskan dahulu perkara berkenaan.
“Untuk makluman semua, Timbalan Menteri (Teo Nie Ching) dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi (Datuk Mohamad Fauzi Md Isa) telah bertemu dengan pihak pengurusan media berkenaan, dan kita juga telah memaklumkan bahawa siasatan oleh pihak berkuasa sedang dijalankan,” katanya pada sidang media mingguan di Angkasapuri di sini hari ini.
Sebelum ini, akhbar berkenaan telah memohon maaf berhubung kesilapan menyiarkan imej Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit di muka hadapan akhbarnya dan menjelaskan bahawa kesilapan itu berpunca daripada masalah teknikal.
Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024 telah diluluskan di Dewan Rakyat pada Februari lepas, setelah lebih 50 tahun cadangan penubuhannya dibincangkan, bagi mewujudkan sebuah badan kawal selia kendiri demi menjaga kepentingan media dan pengamal media di negara ini.
Sementara itu, Fahmi berkata Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) akan menganjurkan sesi taklimat kepada semua organisasi media bagi memastikan penggunaan imej Jalur Gemilang dalam kandungan media mematuhi protokol ditetapkan.
“Sesi taklimat ini dijangka dilaksanakan dalam tempoh dua minggu dan bertujuan mengelakkan sebarang kesilapan yang boleh mencemarkan imej Jalur Gemilang.
“Sesi ini perlu dihadiri oleh semua pengamal media yang memiliki kad perakuan media, serta setiausaha akhbar dan ketua komunikasi korporat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial