AM

Majlis Media Malaysia Disaran Wujud Pasukan Khas Pantau Kesilapan - Pakar

19/04/2025 10:48 AM

Oleh Yasmin Ahmad Zukiman dan Nazira Hasanah Nasaruddin

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Majlis Media Malaysia yang bakal ditubuhkan disarankan untuk mempertimbangkan penubuhan pasukan khas bagi memantau dan mengkaji kesilapan media, kata seorang ahli akademik.

Pensyarah Media dan Komunikasi dari Swinburne University of Technology Sarawak Yugeetha Balan berkata inisiatif itu akan memperkukuh profesionalisme dan ketekalan landskap media negara.

Merujuk kepada amalan antarabangsa, beliau berkata sebagai contoh Majlis Media New Zealand yang menitikberatkan kepentingan pembetulan segera terhadap sebarang kesilapan besar bagi memelihara  kepercayaan masyarakat.

“Malaysia boleh mengadaptasi rangka kerja yang serupa,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam, sambil menambah bahawa majlis itu juga disarankan melaksanakan prosedur pembetulan secara telus.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pada Khamis berkata Majlis Media Malaysia yang akan ditubuhkan kelak akan menjadi platform terbaik bagi menangani isu sensitif melibatkan organisasi media.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata perkara itu, termasuk isu berkaitan imej Jalur Gemilang tidak lengkap oleh sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina pada Selasa lepas.

Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Februari lepas bertujuan mewujudkan sebuah badan kawal selia kendiri demi menjaga kepentingan media dan pengamal media di negara ini. 

Yugeetha turut mencadangkan supaya majlis media memperkenalkan sesi latihan berkala untuk para profesional media dalam usaha mengurangkan kemungkinan berlakunya kesilapan teknikal dan memastikan  standard profesionalisme terus terpelihara.

Beliau berkata sesi latihan sebegitu akan memastikan petugas media sentiasa berpegang kepada amalan terbaik, standard etika dan keperluan teknikal yang sentiasa berkembang dalam industri ini.

“Latihan berkala dapat membantu mencegah kesilapan biasa, terutamanya dalam bidang yang berisiko tinggi seperti yang berkaitan dengan simbol negara,” tambahnya.

Bagi Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Yong Soo Heong, penubuhan Majlis Media Malaysia amat bertepatan dengan keperluan semasa dalam industri media negara, terutama bagi menangani isu yang semakin kompleks dalam era digital yang pantas berubah.

“Majlis Media Malaysia (boleh) membantu dalam perkara atau penyiasatan berkenaan dengan media dengan komposisi jentera, ahli atau petugas yang mempunyai latar belakang dan kemahiran untuk membincangkan isu media yang mungkin timbul. 

"Apabila jentera Majlis Media Malaysia diwujudkan kelak, ia akan membantu dalam memberi pencerahan mengenai isu tertentu," kata bekas Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) itu.

Pensyarah Komunikasi Liberal Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Muhammad Azim Zaid berkata Majlis Media Malaysia perlu mewujudkan garis panduan lebih ketat berhubung penyiaran maklumat sensitif dan dipatuhi oleh semua pihak berkepentingan.

Beliau yang mempunyai 11 tahun pengalaman dalam industri media berkata pihak berkepentingan harus mengambil tanggungjawab sepenuhnya dalam penerbitan mereka, terutamanya isu yang melibatkan kedaulatan negara.

“Kesilapan dalam penerbitan bukan kesilapan kecil. Ia melibatkan imej negara. Dalam organisasi media kita ada beberapa peringkat semakan. Kalau salah ejaan nama pun kita buat ralat, apatah lagi isu yang menyentuh maruah negara,” katanya. 

Pada masa sama, beliau menyifatkan penubuhan Majlis Media Malaysia sebagai usaha penting dalam mengawal arus maklumat yang kian sukar dibendung, terutamanya berkaitan isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R) yang sering mencetuskan perbalahan dalam masyarakat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan