Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 19 April (Bernama) -- Tourism Malaysia (Singapura) memperhebat usaha menarik pelancong Singapura dengan mengetengahkan tawaran pelancongan yang khusus dan pelbagai sebagai sebahagian daripada pendekatan perniagaan kepada pengguna (B2C) menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Pengarah Tourism Malaysia (Singapura), Norliza Md Zain berkata pejabatnya menyertai pelbagai pameran pelancongan, bekerjasama dengan ejen pelancongan tempatan untuk mempromosi pakej perjalanan khusus, serta menjalinkan kerjasama dengan syarikat penerbangan untuk mempromosikan laluan baharu.
“Tahun ini, kami ditugaskan untuk menganjurkan lebih banyak program. Kami memberi tumpuan kepada inisiatif B2C dengan menyertai pameran pelancongan yang memfokuskan kepada Malaysia.
“Itu adalah matlamat utama kami, kerana secara umum kita tidak perlu mempromosi Malaysia secara besar-besaran kepada rakyat Singapura – sebaliknya kita menyasarkan segmen khusus seperti pelancongan kembara,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran Pameran GO Malaysia di sini, Sabtu.
Singapura merupakan pasaran penyumbang pelancong utama ke Malaysia, dengan 18.85 juta ketibaan pelawat dan RM27.9 bilion hasil direkodkan pada tahun lepas.
Norliza berkata Tourism Malaysia (Singapura) turut bekerjasama dengan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) bagi mempromosi pelancongan perubatan – satu segmen utama dalam kalangan pelancong dari republik itu.
Enam hospital ahli MHTC mengambil bahagian dalam Pameran GO Malaysia dengan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kesihatan termasuk rawatan popular seperti kesuburan dan saringan kesihatan.
Pusat rawatan kesuburan terkemuka Malaysia, TMC Fertility turut menyertai pameran itu dalam usaha menarik lebih ramai warga Singapura ke pusat itu. Ketika ini, kira-kira 50 peratus pesakit di cawangannya di Johor adalah dari Singapura.
Penolong Pengurus Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan TMC Fertility Tuan Haniff Tuan Shukri berkata selain pakej IVF dan pembekuan telur, pusat itu turut mengetengahkan perkhidmatan saringan genetik praimplantasi terbaharu bagi mengenal pasti embrio dengan kadar kejayaan implantasi tertinggi serta mengesan ketaknormalan genetik.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar dalam ucapan semasa pelancaran Pameran GO Malaysia menyifatkan acara itu sebagai platform ideal untuk meningkatkan kesedaran mengenai pelbagai tawaran pelancongan Malaysia menjelang VM2026.
“Pameran GO Malaysia menghimpunkan yang terbaik dari Malaysia - daripada tempat peranginan mewah ke ekopelancongan lasak, daripada makanan jalanan yang menyelerakan ke pengalaman membeli-belah bertaraf mewah. Sama ada anda seorang pengembara berpengalaman atau baru ingin bermula, pameran ini ada sesuatu untuk semua,” katanya.
Pameran GO Malaysia anjuran Unique Event & Exhibition Pte Ltd dengan kerjasama Tourism Malaysia (Singapura) berlangsung dari 18 hingga 20 April di Atrium Tengah, Marina Square. Segmen digital pameran itu bermula lebih awal pada 14 April menerusi laman sesawang www.gomalaysia.sg.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial