AM

MAIS Daftar 1,875 Mualaf Tahun Lepas

19/04/2025 12:10 PM

SHAH ALAM, 19 April (Bernama) -- Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah mendaftarkan 1,875 individu sebagai mualaf sepanjang tahun lepas, kata pengerusinya Datuk Salehuddin Saidin. 

Beliau berkata 1,031 daripadanya didaftarkan di Pusat Pengurusan Pengislaman (PPP) yang terdiri daripada masjid dan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) manakala 844 lagi di Ibu Pejabat MAIS, Pejabat Ketua Pendaftar Mualaf serta Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).  

“MAIS bertanggungjawab terhadap pengurusan mualaf di Selangor bermula daripada proses pengislaman sehinggalah pendaftaran selaras dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 di bawah Bahagian 9 berkaitan Memeluk Agama Islam.

“Peraturan-Peraturan Pendaftaran, Penjagaan dan Pengajaran Bagi Mualaf (Negeri Selangor) 2009 yang dikuatkuasakan dapat membantu mualaf daripada aspek pendaftaran, bantuan dan kebajikan, pendidikan sehingga kepada pengurusan jenazah,” katanya. 

Salehuddin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi dan Jalinan Ukhwah PPP 2025 di Wisma PKPS di sini hari ini. 

Selain itu beliau berharap semua petugas PPP komited dalam menjalankan kerja dakwah dan pendaftaran mualaf serta menyantuni golongan itu sebaiknya dan penuh keikhlasan. 

“Petugas juga diharapkan membantu menyebarkan kepentingan pendaftaran pengislaman agar mualaf dapat diuruskan dengan baik daripada sudut bantuan dan kebajikan terutamanya dalam isu melibatkan nasab, pengurusan harta serta pengurusan jenazah," katanya.

Setakat ini terdapat 41 PPP di Selangor yang berperanan membantu mualaf. 

Pada majlis itu MAIS menyerahkan sumbangan RM103,100 kepada 30 PPP MAIS sebagai menghargai peranan mereka selain turut menyampaikan Sumbangan Agihan Fidyah MAIS iaitu wang tunai berjumlah RM30,000 kepada 100 mualaf di Selangor. 

-- BERNAMA 


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan