FOKUS BERNAMA

Redah Bahang Mampu Cairkan Kereta Antara Cabaran Wartawan Di Lokasi Paip Gas Terbakar

07/04/2025 11:27 AM
Daripada Soon Li Wei

Pagi 2 Syawal, ketika umat Islam di negara ini sedang sibuk bersiap untuk meraikan hari kedua sambutan Aidilfitri, lambakan gambar serta klip video memaparkan letusan api berbentuk cendawan gergasi berwarna jingga membanjiri media sosial seawal 8 pagi.

Disangkakan berlaku di luar negara, rupa-rupanya di Puchong, atau lebih tepat lagi Putra Heights, sebuah kawasan petempatan yang agak padat dekat sini, membabitkan kebakaran saluran paip gas milik Petronas.

Mendengar berita itu, hati penulis selaku wartawan bukan Islam di Bernama yang bertugas pada hari tersebut terdetik, “Ah, nampaknya hari ini akan huru-hara.”   

Sepanjang bertugas ketika sambutan Aidilfitri sejak 2012 hingga tahun ini, penulis tidak pernah berdepan dengan tragedi sebesar itu. Lazimnya, bekerja ketika hari raya lebih relaks, dipenuhi dengan acara “makan-makan”. Namun tidak kali ini.

pic-2

 

TEMPAT KEJADIAN

Sebaik menerima arahan daripada ibu pejabat Bernama, penulis yang tinggal hanya kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian, bergegas ke lokasi. Asap tebal dan letusan api menjulang tinggi yang dapat dilihat dari jauh, menjadi pandu arah buat penulis yang tidak mempunyai alamat lengkap tempat kejadian.

"Ini kebakaran besar, kalau boleh laporkan situasi semasa dan dapatkan reaksi penduduk di sekitarnya.” arahan editor bertugas di Bilik Berita kepada penulis terngiang-ngiang di telinga.

Arah asap dan api marak itu membawa penulis ke Kampung Seri Langkas yang terletak kira-kira dua kilometer dari lokasi kebakaran tersebut. 

Usai meletak kenderaan di depan sebuah warung, penulis keluar dari kereta dan terus “disapa” oleh bahang api sekalipun jarak dua kilometer memisahkan penulis dengan lokasi kejadian.

"Pagi tadi lagi panas, bekalan elektrik terpaksa diputuskan buat sementara waktu bagi tujuan keselamatan. Kami langsung tidak boleh berdiri di depan rumah sepertimana sekarang, kerana api itu sangat marak dan lagi tinggi daripada sekarang. 

"Kami dengar bunyi letupan dan rumah bergegar seolah-olah jet jatuh. Kemudian kedengaran riuh di luar rumah dan nampak dari tingkap langit dah jadi oren... kami terpaksa lari ikut (pintu) belakang rumah kerana rumah kami berdepan dengan Sungai (Klang) yang jaraknya dengan tempat kebakaran itu kira-kira tiga kilometer,” kongsi penduduk Kampung Sri Aman, Jamilah Mamat, 46,  dengan panjang lebar kepada penulis.  

"Ramai warga asing yang tinggal di seberang sungai terjun menyelamatkan diri mereka dan lari ke arah kami... Kami nampak mereka basah kuyup dan lari lintang-pukang mungkin akibat panik," tambahnya lagi.

pic-3

Telefon pintar penulis berdering lagi. Kali ini arahan daripada Bilik Berita kepada penulis ialah ke Kampung Kuala Sungai Baru yang dipercayai terjejas teruk berdasarkan klip video yang tular.  

Kumpulan sembang “Kebakaran Gas Puchong” yang diwujudkan di aplikasi WhatsApp khusus untuk petugas Bernama yang membuat liputan bencana itu, tidak berhenti-henti dengan notifikasi mesej daripada rakan setugas di lapangan dan Bilik Berita, berkongsi perkembangan dan maklumat terkini yang diperoleh daripada pihak berkuasa termasuk polis, bomba dan Majlis Bandaraya Subang Jaya. 

Bahang api kebakaran ditambah dengan cuaca panas tengah hari terasa begitu memeritkan, dan penulis serta jurufoto Nur Syaheda Imran memutuskan untuk ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menempatkan penduduk terjejas.  

Malangnya, kesemua jalan ke situ ditutup termasuk “laluan tikus” yang merentasi Kampung Tengah.

Namun, barangkali kasihan melihat kami yang lencun dibasahi peluh, penduduk setempat yang membantu polis mengawal keadaan dan keselamatan di sekitar kawasan bencana, membenarkan kami memasuki kawasan Kampung Kuala Sungai Baru, iaitu antara kawasan terjejas teruk.

"Kami tidak akan bertanggungjawab jika kereta kamu cair ataupun ada sebarang ancaman. Risiko itu kamu tanggung sendiri," kata seorang daripada penduduk  yang membantu mengawal keselamatan di laluan ke kampung itu, ketika kami merayu diberikan kebenaran memasuki kawasan kebakaran. 

pic-4

 

BAGAI MEDAN PERANG 

Sukar untuk penulis gambarkan perasaan sebaik memasuki kawasan Kampung Kuala Sungai Baru itu. Di sepanjang jalan asap masih berkepul-kepul memenuhi rumah-rumah yang api kebakarannya sudahpun dipadamkan.

Namun, yang membuatkan penulis dan jurufoto tergamam ialah pemandangan kenderaan seperti kereta, lori malah bas sekolah, cair akibat terdedah kepada bahang kebakaran tersebut yang entah berapa ribu darjah Celsius panasnya.     

Kebanyakan rumah pula kehilangan bumbung, malah ada yang cuma tinggal kerangka seolah-olah dibom. Mujurlah kejadian berlaku ketika kebanyakan penghuni rumah pulang beraya di kampung, sementara yang lain pula bertindak pantas menyelamatkan diri.

 Sukar untuk penulis mengungkapkan perasaan ketika meninjau keadaan persekitaran kawasan - tidak ubah seperti medan perang yang penulis saksikan di kaca TV.

"Macam perang di Gaza," luah seorang daripada anggota bomba yang dilihat berehat sambil meneguk air.

pic-5

“Ada mangsa yang baru pulang dari kampung, terkejut mereka apabila melihat rumah sudah hangus dijilat api,” tambahnya lagi.

Di depan kami, sebuah rumah banglo dua tingkat hangus hampir sepenuhnya. Di dalam rumah itu jelas kelihatan sisa-sisa perabot serta rangka kenderaan termasuk sebuah motosikal berkuasa tinggi.

“Kasihannya tuan rumah ini,” kata Nur Syaheda.

Kami kemudian bertembung dengan beberapa orang penduduk yang merupakan ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung. Mereka sedang memeriksa dan membuat bancian rumah yang terjejas.

"Ada tiga kampung yang terjejas - Kampung Tengah, Kampung Kuala Sungai Baru dan Kampung Kenangan.

 “Alhamdulillah, kebanyakan mangsa di kampung terbabit sudah dipindahkan ke tempat selamat. Kami hanya membantu pihak penguat kuasa memindahkan mangsa,” kata Ketua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tengah Fiqrie Jusdean di lokasi kejadian. 

Bau gas dan bahan-bahan terbakar masih dapat kami hidu di kawasan itu. Kami diberi pelitup muka oleh anggota bomba yang meminta kami memakainya bagi tujuan keselamatan. 

Cuaca yang amat panas dengan matahari memancar terik berserta bahang api sekalipun kebakaran sudah dipadamkan, membuatkan baju kami lencun lagi.

Selepas sejam di situ, kami mengorak langkah ke Masjid Nurul Iman di Kampung Tengah, yang berfungsi sebagai hab kecemasan perubatan bagi kes cedera ringan dan lecur, dikendalikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor. 

 

CABARAN DAN PENGALAMAN BERHARGA 

 

Mangsa-mangsa yang ditemui penulis, dengan kebanyakannya beragama Islam, meluahkan rasa tidak percaya, kesal dan sedih mereka.

“Semalam 1 Syawal kami beraya, hari ini sekelip mata tinggal sehelai sepinggang,” kata seorang daripada mereka. Masing-masing ada yang sedang menunggu kebenaran pulang ke rumah bagi melihat keadaan dan juga mengambil barangan. 

Rakan-rakan media juga berkongsi pengalaman mereka ketika cuba mendapat futej dan gambar terbaik bencana itu untuk untuk dimuatkan sebagai laporan utama muka depan media masing-masing.

Jurufoto Sin Chew Daily, Chai Woei Chyuan, 62, berkata ada dalam kalangan rakan-rakan jurufotonya mengalami strok haba akibat cuaca terlalu panas ditambah pula dengan bahang api.

"Ada juga yang kamera mereka sudah cair dan rosak, tidak boleh digunakan lagi. Boleh dikatakan liputan kebakaran ini sangat dahsyat sehinggakan alat 'cari makan' kami pun boleh rosak jika tidak dijaga elok," katanya. 

pic-6

Seperti biasa, selain melaporkan kembali perkembangan terkini kepada Bilik Berita, rata-rata rakan media turut berkongsi maklumat di akaun media sosial masing-masing, antaranya wartawan Bernama TV Muhd Muzammil Abdullah.

Bagaimanapun kata beliau, perkongsian itu menerima kecaman daripada netizen yang mendakwa media menyembunyikan maklumat.

"Agak kecewa apabila melihat beberapa 'posting' netizen yang mendakwa media cuba menyembunyikan fakta dan mengelakkan daripada melaporkan (hal sebenar) kepada umum.

"Laporan yang kita keluarkan adalah berdasarkan maklumat daripada pihak berkuasa pada waktu sebenar, ketika itu.  

"Apa-apa maklumat rasmi yang dilaporkan oleh media perlu berpandukan kenyataan rasmi dan tidak boleh memandai-mandai, namun ramai yang ingat kita tidak laporkan keadaan sebenar,” katanya.

Realitinya, bukan mudah untuk pengamal media mendapatkan maklumat, khususnya ketika membuat liputan bencana sebesar ini. Pelbagai cabaran perlu ditempuhi bagi mendapatkan data sebenar termasuk menemu bual mangsa kerana ada kawalan ketat pihak berkuasa.

Justeru, tuduhan segelintir masyarakat bahawa media tidak melaporkan perkara sebenar seolah-olah menafikan jerih perih dan integriti pengamal media dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

Teringat penulis akan kata-kata Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Datuk Dr Mohamad Fauzan Noordin ketika penulis membuat liputan hari raya pertama di kampus itu.

Kata beliau, ramai netizen yang mengamalkan “tibaiyun”, bukan “tabayyun” (menyemak kesahihan maklumat) kerana mereka “tibai” (menerima sahaja) terlebih dahulu segala jenis maklumat tanpa menyemak kesahihan fakta. 

"Ramai sangat yang nak jadi 'wartawan segera' sehinggakan nak semak fakta, iaitu perkara asas itupun tidak diamalkan. Akibatnya banyak berita palsu disebarkan sehinggakan ada yang digembar-gemburkan seolah-olah itu benar. Tambahan pula dengan perkembangan teknologi terkini, lagilah cepat maklumat palsu disebarkan. 

"Media bertauliah bertanggungjawab membuat semakan fakta bagi membetulkan keadaan supaya dapat hentikan penyebaran berita palsu kepada umum," katanya. 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan