PETALING JAYA, 9 April (Bernama) --Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu terdapat kelibat seorang kanak-kanak dipercayai Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diletakkan bersebelahan Apartment Idaman, Damansara Damai.
Dalam prosiding hari ini, sebanyak 10 rakaman CCTV ditayangkan di mahkamah, antaranya rakaman mangsa keluar dari terowong, ibu mangsa di sebuah pasar raya dan mangsa dalam longkang.
Juruanalisis Kanan Unit Siasatan Audio Video, Makmal Forensik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) ASP Latifah Abdul Aziz, 44, berkata bagi rakaman CCTV bertajuk ‘Nampak Mangsa Dalam Longkang’ bertarikh 5 Dis 2023, 12.13 tengah hari, telah dijalankan proses penambahbaikan (enhancement) bagi menjelaskan kualiti imej tersebut.
“Bagaimanapun, saya dapati daripada imej ini wajah individu dipercayai mangsa tidak berjaya dikeluarkan kerana terdapat pagar di antara kedudukan kamera CCTV dengan subjek yang difokuskan," kata saksi pendakwaan ke-26 itu.
Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan hari ke-16 kes pengabaian dihadapi ibu bapa Zayn Rayyan, iaitu Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi mengenai deskripsi fizikal individu itu, Latifah berkata berdasarkan pemerhatiannya, individu di dalam rakaman CCTV itu memakai baju berwarna cerah seakan warna putih, namun beliau tidak dapat menganggarkan saiz individu itu kerana tidak mengetahui kedalaman longkang dalam rakaman video berkenaan.
Saksi itu berkata beliau juga membuat analisis terhadap rakaman CCTV bertajuk 'SAKSI BERLARI' pada tarikh sama menunjukkan imej individu dipercayai saksi yang berlari di dalam paparan video itu, namun beliau tidak dimaklumkan siapa 'saksi' berkenaan.
"Daripada rakaman CCTV ini, saya dapati imej wajah individu dipercayai saksi tidak berjaya dikeluarkan kerana terdapat beberapa halangan di antara kamera CCTV dengan subjek yang difokuskan iaitu pagar dan pokok-pokok di sebelah pagar.
"Saya tidak dapat pastikan warna asal baju dan seluar dipakai individu yang dipercayai saksi, namun daripada resolusi rakaman CCTV menunjukkan warna baju dan seluar adalah gelap seakan warna hitam." katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata berdasarkan pemerhatian beliau imej tersebut menunjukkan fizikal individu dipercayai kanak-kanak.
Latifah berkata beliau turut membuat analisis terhadap rakaman CCTV daripada folder 'CCTV ECONSAVE IBU MANGSA' dan telah merkaman imej dipercayai ibu mangsa dan hasil analisis menunjukkan imej kelihatan lebih terang berbanding imej asal, namun daripada kedudukan CCTV tidak menampakkan keseluruhan wajah individu berkenaan.
"Hasil analisis menunjukkan imej adalah kurang jelas kerana resolusi rakaman CCTV yang rendah dan wujud kekaburan pergerakan (motion blur) semasa subjek yang difokuskan bergerak," katanya.
Kepada soalan Nur Sabrina mengenai deskripsi fizikal individu itu, Latifah berkata berdasarkan pemerhatiannya, individu itu memakai tudung berwarna hitam, baju bunga hijau, membawa beg berwarna ungu dan putih dan sedang membawa barang dari Econsave menuju ke motosikal.
Disoal bagaimana Latifah mengesahkan individu itu adalah ibu mangsa dan bolehkah beliau mengecam muka individu terbabit, Latifah berkata, "Imej ini telah ditunjukkan kepada saya oleh pegawai penyiasat ASP Mohd Hafizee Ismail kerana saya tiada pengetahuan berkaitan individu yang dikatakan ibu mangsa. Saya tidak dapat mengecam muka individu ini".
Terdahulu, Latifah dalam pernyataan saksinya berkata pada 14 Dis 2023, jam 11.28 pagi beliau telah menerima barang kes dan dokumen daripada wakil pegawai penyiasat Insp Amir Hakimi Zakaria dan menjalankan pemeriksaan terhadap barang kes tersebut pada tarikh sama (14 Dis 2023).
Katanya beliau mendapati empat fail rakaman video telah dijalankan dalam format MP4 dalam kandungan barang kes bertanda H1 dan kesemuanya boleh dimainkan dengan baik dan telah dijalankan ujian pengesahan atau hashing bagi mengesahkan integriti fail sebelum proses analisis dijalankan.
"Selain itu, folder 'CCTV PENAMPAKAN' bagi mengeluarkan imej individu berbaju putih berjalan dalam terowong dan jalan balik dalam terowong dan juga individu berbaju hitam berlari.
“Imej yang dikeluarkan adalah kurang jelas, terdapat beberapa objek lain seperti pagar dan pokok yang menghalang imej individu di dalam paparan video serta jarak daripada kamera CCTV dengan subjek yang difokuskan adalah jauh, menyebabkan imej kelihatan kabur dan kurang jelas," katanya.
Ismanira dan Zaim Ikhwan, masing-masing berumur 30 tahun didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan apartmen itu antara 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Dis 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartmen Idaman, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Perbicaraan bersambung 21 April ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial