AM

Tender Projek Jambatan Long Jekitan Keluar Bulan Depan

17/04/2025 11:40 PM

KUCHING, 17 April (Bernama) -- Tender bagi projek pembinaan jambatan baharu di Sungai Sengayan, Long Jekitan, Baram dijangka dikeluarkan Jabatan Kerja Raya bulan depan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata permohonan bagi membina jambatan itu telah dikemukakan sebelum ini sebagai langkah keselamatan kepada penduduk yang ingin menyeberang sungai di kawasan berkenaan.

“Kita pernah memohon untuk membuat jambatan kerana di kawasan itu merupakan jalan balak dan jambatan kayu di situ pun sudah runtuh jadi tak dapat digunakan.

“Orang kampung masih boleh menyeberangi sungai ketika air surut, namun kita berharap penduduk kampung tidak mengambil risiko sekiranya hujan lebat atau air deras,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis Rindok Raya Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), di sini hari ini.

Gerawat berkata demikian bagi mengulas kejadian penduduk kampung yang dihanyutkan arus deras semasa cuba menyeberang Sungai Sengayan Ahad lepas.

Beliau berkata pihak berkuasa sedang melakukan yang terbaik untuk mencari mangsa Dawellies Luing, 46, yang masih belum ditemukan. 

"Saya sangat bersimpati dengan keluarga terbabit...kami sedang melakukan yang terbaik untuk membantu mencari mangsa yang hilang," katanya.

Mangsa yang merupakan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Jekitan dilaporkan berada dalam kenderaan pacuan empat roda bersama isterinya, Litun Ajip, anak perempuan mereka Vallerie Mentie, 9, dan seorang pemandu, ketika cuba menyeberangi sungai tersebut sebelum dihanyutkan.

Litun dan pemandu berkenaan berjaya menyelamatkan diri namun Vallerie ditemukan lemas kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian oleh penduduk kampung pada Isnin.

Jasad kanak-kanak itu dibawa ke kediaman keluarga mereka di Long Tikan sebelum dikebumikan pada Rabu.

Operasi mencari dan menyelamat melibatkan empat anggota Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), guru-guru dari SK Long Jekitan serta penduduk kampung.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan