Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah
TAPAH, 19 April (Bernama) -- MIC mengenal pasti hampir 3,000 pengundi kaum India akan memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, 26 April ini.
Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan berkata ini kerana jentera BN di kawasan Parlimen Tapah bergerak sepanjang masa dalam menyantuni rakyat pelbagai kaum dan bukannya setakat musim pilihan raya sahaja.
"Kita tidak tunggu musim pilihan raya untuk bekerja, kalau ada masalah banjir kilat, jalan rosak atau sekolah perlu bantuan, kita akan turun padang," katanya kepada Bernama.
Selain itu, beliau berkata semangat perpaduan dalam kalangan jentera parti menjadikan kawasan Parlimen Tapah kekal sebagai kubu kuat BN.
"Semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat India, Melayu dan Cina terbukti apabila dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang lepas, ketiga-tiga calon dari MIC, UMNO dan MCA diberikan mandat oleh rakyat untuk menjadi wakil rakyat," katanya.
Selain Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah, dua kerusi DUN di Parlimen itu iaitu Ayer Kuning dan Chenderiang, masing-masing diwakili Allahyarham Ishsam Shahruddin (UMNO) dan Choong Shin Heng (MCA).
Mengulas lanjut, Saravanan berkata keserasian antara parti komponen BN di Tapah menjadi asas kepada penyampaian perkhidmatan yang cekap, terutama dalam menyelesaikan isu tempatan secara bersama.
Beliau berkata bagi PRK DUN Ayer Kuning ini, BN turut dibantu jentera Pakatan Harapan (PH) yang pastinya akan melonjakkan lagi jumlah undi kepada calon mewakili Kerajaan Perpaduan.
PRK DUN Ayer Kuning yang diadakan berikutan kematian Ishsam akibat serangan jantung pada 22 Feb lepas, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
Kerusi DUN Ayer Kuning mempunyai seramai 31,897 pengundi berdaftar dengan 56 peratus daripadanya pengundi Melayu, Cina (22 peratus), India (14 peratus) dan lain-lain (lapan peratus).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial