JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

MCMC Pastikan Capaian Internet Sempena LIMA’25 Berada Pada Tahap Baik - Fahmi

19/05/2025 02:57 PM

LANGKAWI, 19 Mei (Bernama) -- Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memastikan capaian internet di lokasi yang berkaitan di sini sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25), berada pada tahap yang baik.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pasukan MCMC telah diminta untuk berada di lokasi dan memantau sebarang isu berkaitan capaian internet.

“Kita jangkakan dalam tempoh perjalanan LIMA’25, ramai pengunjung yang akan hadir dan kita ingin pastikan pengalaman internet itu berada pada satu tahap yang lebih dari memuaskan. 

“Jadi saya difahamkan setakat ini tidak timbul apa-apa isu mengenai capaian internet. Malah syarikat-syarikat telekomunikasi juga telah membantu dengan memasang sama ada ‘booster’ ataupun beberapa peralatan untuk meningkatkan capaian internet di beberapa lokasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Jelajah Kempen Internet Selamat Zon Utara, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Anggota Suruhanjaya MCMC Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Fahmi berkata beliau sendiri akan melawat ke lokasi panganjuran LIMA’25 esok bagi melihat keadaan dan kemudahan internet di situ.

Beliau berkata MCMC juga telah meletakkan pusat pemantauan komunikasi di lokasi penganjuran bagi memastikan tiada isu berkaitan capaian internet sepanjang tempoh pameran itu berlangsung.

LIMA'25 yang merupakan edisi ke-17 akan berlangsung mulai esok hingga 24 Mei ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan