LANGKAWI, 19 Mei (Bernama) -- Komuniti MADANI Kampung Kuah di sini menzahirkan keterujaan apabila disantuni Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil sempena program Bakti Komuniti MADANI di kampung itu hari ini.
Mahani Mohamad Saleh, 44, seorang penjual kuih dan antara penerima sumbangan sempena program itu berkata beliau bersyukur kepada Kerajaan MADANI atas keprihatinan dan kesudian melakukan ziarah kasih kepada komuniti kampung tersebut.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada Menteri dan Ahli Jawatankuasa Kampung Kuah sebab sudi datang ke rumah untuk menghantar makanan serta bantuan kewangan buat kami sekeluarga.
“Saya jual kuih untuk bantu keluarga dapat duit sedikit tapi saya amat bersyukur bila Menteri datang hantar bantuan. Saya akan simpan dan beli barangan keperluan jika perlu,” kata ibu kepada lima anak itu kepada Bernama.
Noorlizarina Saad, 34, yang mewakili seorang lagi penerima iaitu Hamidah Saad, 73, turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan MADANI atas bantuan kepada ibunya yang mempunyai masalah pendengaran.
“Kami gembira sangat sebab dapat kotak makanan daripada Menteri. Kami sekeluarga bersyukur atas bantuan ini dan lawatan Menteri,” kata suri rumah itu.
Sementara itu, Jabatan Penerangan dalam kenyataan memaklumkan Program Bakti Komuniti MADANI adalah pendekatan baharu bagi menyuburkan semangat kesukarelawanan menerusi penyertaan aktif komuniti dalam aktiviti seperti gotong-royong, kenduri rakyat, sukan rakyat dan program kerohanian.
Menurut Jabatan Penerangan, menerusi program itu Menteri Komunikasi berpeluang menyantuni golongan asnaf dengan menyampaikan sumbangan berupa bahan keperluan harian dan kelengkapan sekolah selain menyertai gotong-royong membersihkan kawasan Surau Al-Mursyidin di sini.
Sempena program itu, Fahmi turut dibawa melawat Ilham Ceramics Studio iaitu perusahaan milik ahli Komuniti MADANI Langkawi, Mohamad Radzi Ismail dan menyaksikan demonstrasi pembuatan seramik serta mencuba sendiri proses penghasilannya.
Terdahulu, dalam lawatan kerja beliau hari ini, Fahmi juga sempat meninjau Pejabat Penerangan Daerah Langkawi yang kini kembali beroperasi di premis asal di Jalan Penarak di Kuah selepas kerja penyelenggaraan selesai dilaksanakan.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Julina Johan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial