JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Sarawak Tawar Pendidikan Percuma Sepenuh Masa Kepada Pelajar Dewasa

18/05/2025 04:14 PM

KUCHING, 18 Mei (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan menawarkan pendidikan tinggi sepenuh masa secara percuma kepada rakyat Sarawak, termasuk mereka yang sudah bekerja tetapi tidak berpeluang melanjutkan pelajaran sebelum ini.

Berucap pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2025 peringkat negeri, beliau menyeru anak Sarawak supaya merebut peluang menjadi pelajar prasiswazah dan meningkatkan kemahiran serta pengetahuan teknologi terkini.

“Janji kamu minat sahaja, duduk dan belajar untuk ‘upskill’. Sesiapa yang sudah bekerja dan memiliki diploma boleh kembali ke kampus sebagai pelajar dewasa.

“Belajar itu adalah proses seumur hidup kerana teknologi sentiasa berubah,” katanya.

Abang Johari menjelaskan bahawa inisiatif ini akan membangunkan modal insan Sarawak menerusi pendidikan tinggi dan latihan kemahiran.

Dalam sidang media selepas majlis, beliau menegaskan tawaran pendidikan percuma ini khusus untuk pengajian sepenuh masa dan disokong sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

“Antara syaratnya, pemohon mestilah anak kelahiran Sarawak. Ia bukan program separuh masa —, tetapi disokong sepenuhnya oleh kerajaan negeri,” katanya.

Mulai tahun depan, Sarawak akan membiayai pendidikan percuma bagi 64 kursus terpilih di institusi milik negeri, termasuk Kolej Universiti i-CATS (iCats), Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Universiti Teknologi Sarawak, Curtin University Sarawak, dan Swinburne University of Technology Sarawak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan