JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Pelukan Terakhir Arwah Kekal Dalam Ingatan - Adik

18/05/2025 04:07 PM

BATU PAHAT, 18 Mei (Bernama) -- Pelukan terakhir seorang kakak terhadap adiknya sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekah pada Khamis lepas menjadi kenangan abadi yang tidak mampu dilupakan sampai bila-bila.

Bagi Anggiat Tambunan Nordin, 44, pemergian arwah kakaknya, Norizah Tambunan Nordin, 47, satu kehilangan cukup besar kerana keakraban hubungan semenjak mereka kecil.

Bagaimanapun, mereka sekeluarga reda dengan pemergian itu dan menganggapnya cukup bertuah bagi arwah kerana meninggal dunia di Tanah Suci yang menjadi impian mereka yang beragama Islam.

“Antara perbualan terakhir kami, ‘selamat dunia, selamat akhirat’ dan apabila teringatkan kata-kata titu saya berasa sebak kerana itulah masanya saya bertemu dan berbual secara berdepan dengan arwah untuk kali terakhir, sebelum arwah masuk ke balai pelepasan kira-kira 8.20 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru.

“Sebenarnya saya agak terkejut juga apabila menerima perkhabaran yang kakak saya meninggal dunia ketika hendak melakukan tawaf, dengan punca kematian akibat serangan jantung, dia tidak mempunyai masalah kesihatan yang serius,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman arwah di Kampung Low Piak, Taman Nira, di sini hari ini.

Beberapa jam sebelum menghembuskan nafas terakhir, arwah sempat menghantar mesej memberitahu rombongannya selamat mendarat di Lapang Terbang Antarabang King Abdulaziz, Jeddah pada 1.30 pagi waktu tempatan (waktu Arab Saudi).

Anggiat berkata perkara yang akan sentiasa diingatinya ialah satu sudut di bahagian rumahnya yang dijadikan sebagai ‘surau’ oleh ahli keluarga dan arwah sering menghabiskan masanya di situ.

“Arwah apabila balik kerja, kebanyakan masanya dihabiskan di situ, bersolat dan membaca al-Quran … adakalanya dia akan tidur di situ,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga dan ia satu kehilangan besar bagi penjawat awam negeri ini.

“Kerajaan negeri memberikan pampasan berjumlah RM7,800 dan telah dikreditkan ke dalam akaun Lembaga Tabung Haji (TH) arwah Norizah,” katanya.

Terdahulu, Allahyarhamah Norizah disahkan meninggal dunia di pekarangan Masjidil Haram, Mekah pada Jumaat 6.20 pagi waktu tempatan (waktu Arab Saudi) sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Sharayaa 64.

Allahyarhamah seorang daripada jemaah Haji Rombongan Kerajaan Johor (RKJ) yang tiba di Arab Saudi pada 15 Mei lepas. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan