JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Nahas FRU: Enam Mangsa Masih Dirawat, Seorang Dibenar Keluar Hospital Semalam

17/05/2025 01:57 PM

TELUK INTAN, 17 Mei (Bernama) -- Enam anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan di sini Selasa lepas masih menerima rawatan manakala seorang lagi dibenarkan keluar semalam. 

Pengarah Kesihatan Perak Dr. Feisul Idzwan Mustapha berkata lima daripada anggota itu dirawat di Hospital Teluk Intan (HTI) dan seorang di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh. 

“Empat daripada lima pesakit yang dirawat di HTI ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala seorang lagi ditempatkan di Wad Surgical dan perkembangan pesakit di wad tersebut bertambah baik, mungkin boleh dibenarkan keluar dalam tempoh terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita di HTI hari ini.

Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyantuni keluarga mangsa nahas FRU di hospital berkenaan pagi ini. 

Dalam pada itu, Dr Feisul Idzwan berkata anggota yang berada di ICU HRPB mulai sedar dan menunjukkan perkembangan baik walaupun mengalami kecederaan serius.

“Dia mengalami pelbagai jenis kecederaan antaranya di bahagian paru-paru kita panggil diafram iaitu selaput antara paru-paru dengan organ usus, perut, selain kecederaan pada organ hati dan limpa serta kemungkinan besar buah pinggang dan pundi kencing. 

“Ini tidak termasuk pelbagai kecederaan tulang kita panggil fracture di tulang rusuk, kaki dan pinggul.  Semasa pesakit dimasukkan ke HRPB pun sudah ada tiga pembedahan peringkat awal, jadi memang kita lihat kemungkinan besar pesakit perlu melalui pelbagai jenis prosedur lagi,” katanya.

Dr Feisul Idzwan berkata bagi pesakit di ICU HTI pula, kesemuanya telah menunjukkan perkembangan baik dengan seorang daripadanya memerlukan pemerhatian rapi.

Dalam kejadian 8.50 pagi Selasa lepas, sembilan anggota maut manakala sembilan lagi cedera selepas trak FRU dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan semasa dalam perjalanan pulang ke pangkalan di Sungai Senam di sini. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan