JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Nahas FRU: KPWKM Teliti Bantuan JKM Yang Akan Disalur - Nancy

17/05/2025 05:40 PM

KUCHING, 17 Mei (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang meneliti bantuan kewangan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang akan disalur kepada waris sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas di Jalan Chikus-Sungai Lampan. 

Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet yang lepas. 

“Kita teliti dahulu berapa yang telah diberikan sebab mangsa ada juga insurans dan bantuan oleh polis... jadi dari situ, kita lihat berapa kita boleh sumbang tetapi kebiasaannya, kita dapat beri. 

“Kami sudahpun mempunyai semua butiran keluarga mangsa kerana ada kerjasama dengan pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri,” katanya pada sidang media sempena Festival Nyamai 2025 Edisi Hari Sarawak di sini hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata waris terbabit akan menerima pampasan serta bantuan kewangan berjumlah antara RM58,000 hingga RM269,700 termasuk RM25,000 melalui Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara.

Nancy juga berkata pihak JKM bersedia menawarkan bantuan kaunseling pada bila-bila masa untuk keluarga mangsa. 

“Sesi kaunseling memang akan diberikan tetapi kita mahu beri ruang kepada keluarga mangsa dahulu kerana buat masa ini, emosi mereka mungkin masih belum stabil,” katanya. 

Pada 13 Mei lepas, nahas jalan raya membabitkan pertembungan trak FRU dengan lori yang membawa muatan batu itu turut menyebabkan lima anggota pasukan berkenaan cedera parah manakala empat lagi cedera ringan.

Kenderaan dinaiki 18 anggota FRU termasuk pemandu itu dalam perjalanan pulang ke lpoh selepas selesai melaksanakan tugas di bawah Op Chariot di Menara Condong Teluk Intan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan