JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Guru Boleh Mohon Pertukaran Selepas Dua Tahun Berkhidmat - Fadhlina

17/05/2025 11:03 AM

KUCHING, 16 Mei (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuka permohonan pertukaran buat guru yang telah berkhidmat selama dua tahun.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata permohonan tersebut terbuka dan tanpa sebarang syarat lain.

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira beberapa pandangan serta keprihatinan Kerajaan MADANI kepada kesejahteraan guru,” katanya semasa berucap di majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-54 Tahun 2025 di sini hari ini.

Turut hadir pada acara itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Untuk rekod, sebelum ini KPM menetapkan guru tidak dibenarkan memohon pertukaran dalam tempoh tiga tahun pertama perkhidmatan.

Sementara itu, Fadhlina berkata KPM telah melantik 1,470 pembantu guru bagi 2025 dan sekolah yang terpilih berdasarkan kriteria ditetapkan, akan menerima dua pembantu guru tersebut.

“KPM juga akan menghantar guru dan pegawai terpilih untuk mengikuti program kursus jangka pendek di luar negara bagi menimba ilmu dan pengalaman dalam beberapa bidang terpilih. Inisiatif ini melibatkan peruntukan RM4 juta,” katanya.

Pada majlis sama, Fadhlina memaklumkan 32 guru bakal dihantar ke sekolah antarabangsa di United Kingdom secara percuma di bawah Program Global Immersion For Future-Ready Teachers (GIFT).

Selain itu, beliau turut mengumumkan diskaun 20 peratus bagi pembelian tiket kapal terbang kepada guru melalui portal MH GOM yang butiran lanjut akan diumumkan nanti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan