JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

Guru, Murid Bukan Bahan Uji Kaji - Ahmad Zahid

17/05/2025 11:01 AM

KUCHING, 16 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta supaya guru dan murid tidak dijadikan bahan uji kaji dengan sering kali menukar agenda serta sistem pendidikan negara.

Beliau berkata walaupun menteri silih berganti, sektor pendidikan tidak boleh dilihat dalam jangka masa lima tahun sahaja, sebaliknya perlu perancangan untuk tempoh 50 tahun akan datang.

“Jangan setiap lima tahun selepas pilihan raya - menteri, sistem, sukatan pelajaran semua diganti. Guru dan murid ini bukan bahan uji kaji, sistem itu mesti berjalan terus.

“Jangan kerana kita mahu wujudkan satu legasi untuk kepentingan peribadi guru dijadikan mangsa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-54 di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya telah menggariskan beberapa hala tuju utama dalam membina semula ekosistem pendidikan termasuk merombak sistem tugasan guru agar mereka kembali kepada peranan asal.

“Guru juga harus menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan automasi secara bijak untuk meminimumkan kerja dan mengoptimumkan masa bersama murid,” katanya.

Beliau berkata transformasi digital juga harus diutamakan dan disegerakan bagi memudahkan urusan guru.

“Penguasaan teknologi digital mesti disegerakan. Dalam era ini, budaya penyesuaian berteraskan teknologi akan menjamin kemampanan pendidikan.

“Pastikan semua guru mampu mengintegrasikan teknologi dan murid menjadi pengguna digital yang fasih dan beretika,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan