JENAYAH_MAHKAMAH > BERITA

KKDW Peruntuk RM1.11 Bilion Bagi Pembangunan Luar Bandar Sabah

17/05/2025 10:55 PM

PUTATAN, 17 Mei (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM1.11 bilion bagi pembangunan luar bandar di Sabah pada tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah itu berkata ia meliputi projek prasarana sosial antaranya pembinaan jalan luar bandar, bekalan elektrik dan sistem bekalan air bagi meningkatkan akses, keselesaan hidup serta kemampanan rakyat di kawasan tersebut.

Beliau berkata masih wujud jurang ketara yang perlu ditangani terutama daripada sudut infrastruktur asas, akses ekonomi, pendidikan serta digitalisasi luar bandar dan justeru itu, KKDW terus komited melaksanakan program berimpak tinggi yang menyeluruh termasuk di Sabah demi merapatkan jurang ini.

“KKDW tidak pernah ketinggalan menyantuni rakyat Sabah. Ini semua kita lakukan untuk rakyat Sabah antaranya bagi menyelesaikan masalah bekalan air yang tidak pernah berkesudahan di Sabah, ia juga akan bantu Sabah selesaikan masalah bekalan elektrik di luar bandar yang sering putus.

“Elektrik di bandar tiada masalah besar, jadi luar bandar mesti bekalan elektrik juga baik seperti di bandar. Begitu juga prasarana luar bandar seperti jalan-jalan perlu dinaik taraf dan diperbaiki,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Sentuhan Kasih Desa MADANI Bersama Pimpinan di sini malam ini.

Turut hadir Pengerusi Komuniti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, dan Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man.

Ahmad Zahid berkata bagi memartabatkan setiap anak desa sejak kecil dan memastikan tiada sesiapa terpinggir, KKDW melaksanakan tiga inisiatif pendidikan awal berimpak tinggi yang kini dalam fasa perintis.

Beliau berkata inisiatif Smart Classroom@KEMAS memperkenal model tabika (taman bimbingan kanak-kanak) dan taska (taman asuhan kanak-kanak) berteknologi tinggi dengan integrasi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) digital, kemudahan infrastruktur pintar serta tadbir urus yang efisien.

Ahmad Zahid berkata Program PeliTa@KEMAS adalah bagi melahirkan generasi Huffaz Cilik berumur lingkungan tujuh hingga 12 tahun yang bukan sahaja menghafaz Juzuk Amma iaitu juzuk terakhir atau ke-30 dalam al-Quran tetapi juga melalui silibus pengajian al-Quran yang sistematik dan berperingkat.

Beliau berkata TABIKA Tunas Istimewa@KEMAS pula memberikan peluang pendidikan awal bersesuaian kepada kanak-kanak berkeperluan khas khususnya yang mengalami autisme supaya mereka juga dapat menikmati pendidikan yang adil dan menyeluruh.

“Melalui KEMAS, saya juga telah minta untuk diberi santunan kasihnya kepada taska dan tadika KEMAS serta Pusat Komuniti Desa.

"Mana-Mana tadika atau taska KEMAS yang sangat daif terutama di Sabah dinaik taraf segera supaya dapat digunakan dengan selesa oleh anak-anak kita,” katanya.

Ahmad Zahid juga berkata KKDW melalui KEMAS telah memperuntukkan sebanyak RM1.06 juta bagi program pembangunan komuniti dan keusahawanan serta RM1.27 juta lagi untuk pendidikan kemahiran yang memberi manfaat secara terus kepada penduduk Sabah.

Beliau berkata dalam memacu pertumbuhan ekonomi luar bandar, KKDW turut memperkukuh program pemerkasaan ekonomi seperti Program Mini Estet Sejahtera, Program Desa Harapan dan Usahawan Desa MADANI serta memperluas capaian Pusat Ekonomi Digital ke seluruh kawasan itu di Sabah.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi kerja-kerja penambahbaikan lif dan tambahan RM500,000 lagi bagi sistem tangki air demi keselesaan serta keselamatan penduduk setempat di Projek Perumahan Rakyat Seri Keramat di sini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan