KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia terus menyaksikan aliran masuk dana asing untuk minggu keempat, mencatatkan belian bersih sebanyak RM1.68 bilion minggu lepas berbanding RM422.6 juta pada minggu sebelumnya.
Menurut Laporan Aliran Dana MIDF Amanah Investment Bank Bhd bagi minggu berakhir 16 Mei, pelabur asing adalah pembeli bersih pada setiap hari dagangan dengan aliran masuk direkodkan antara RM185.6 juta hingga RM797.4 juta.
Aliran masuk bersih tertinggi dicatatkan pada Isnin, berjumlah RM797.4 juta diikuti pada Selasa sebanyak RM488.4 juta.
Tiga sektor yang mencatat aliran masuk asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM797.2 juta), utiliti (RM218.6 juta) serta telekomunikasi dan media (RM179.7 juta).
“Dua sektor mencatatkan aliran keluar bersih asing adalah tenaga (RM56.3 juta) dan amanah pelaburan hartanah (RM3.7 juta),” katanya.
Sementara itu, MIDF berkata institusi tempatan juga meneruskan aktiviti belian bersih mereka kepada empat minggu berturut-turut dengan aliran keluar berjumlah RM1.35 bilion minggu lepas, hampir 3.5 kali lebih tinggi daripada aliran keluar minggu sebelumnya sebanyak RM397.8 juta.
Pelabur runcit tempatan melanjutkan aliran jualan bersih mereka kepada minggu kelima dengan aliran keluar meningkat 13 kali ganda kepada RM330.2 juta berbanding RM24.8 juta minggu sebelumnya.
“Purata volum dagangan harian (ADTV) menyaksikan peningkatan secara meluas minggu lepas.
“Institusi tempatan dan peruncit tempatan menyaksikan peningkatan masing-masing sebanyak 50.9 peratus dan 31.8 peratus manakala pelabur asing menyaksikan peningkatan sebanyak 42.6 peratus,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial