EKONOMI > BERITA

UOB MALAYSIA BEKERJASAMA DENGAN BURSA MALAYSIA SOKONG USAHA KEMAMPANAN PKS

16/05/2025 09:13 AM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) bekerjasama dengan Bursa Malaysia Bhd bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS)  untuk melaksanakan amalan lestari dan memajukan perjalanan mereka ke arah pengurangan karbon.

Dalam kenyataan bersama hari ini, UOB Malaysia dan Bursa Malaysia berkata PKS yang menyertai program Sustainability Accelerator Programme 2.0 (SAP 2.0) akan menerima akses kepada penyelesaian Perisikan Kelestarian Berpusat (CSI) Bursa menerusi kerjasama ini.

Menurutnya akses itu mengurangkan kerumitan dalam pengiraan pelepasan dan melicinkan penggunaan penyelesaian pengurangan karbon yang berkaitan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UOB Malaysia Ng Wei Wei berkata selain penyelesaian yang lebih tertumpu kepada PKS melalui SAP 2.0, UOB akan membiayai bayaran bagi langganan penyelesaian CSI Bursa untuk pelanggan PKS.

“Laporan pelepasan gas rumah hijau (GHG) boleh menjadi satu aspek yang mencabar dalam perjalanan pengurangan karbon, dan dengan mengurangkan halangan ini serta membantu mereka menghitung dan melaporkan pelepasan GHG dengan lebih berkesan, kami berharap dapat memperkasakan lebih ramai PKS dalam melaksanakan peralihan.

“Saya yakin bahawa kerjasama mantap antara sektor awam dan swasta penting untuk membantu perniagaan untuk mengurangkan pelepasan karbon,” kata Ng.

Menurut kenyataan itu, kerjasama berkenaan bertujuan untuk melengkapkan PKS dalam memenuhi peningkatan permintaan kemampanan daripada pihak berkepentingan termasuk pelanggan utama seperti syarikat multinasional dan syarikat tersenarai awam bagi data pelepasan GHG untuk laporan pelepasan rantaian bekalan “Skop 3.”

Sementara itu, CEO Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed berkata kerjasama itu merupakan langkah penting dalam memperluas ekosistem CSI untuk memberi manfaat kepada kelompok syarikat yang lebih luas.

“Sepertimana penyelesaian CSI kami yang telah memperkasakan PLC untuk memenuhi obligasi pendedahan dan memimpin pengurangan karbon mereka, kami kini mengembangkan keupayaan yang sama kepada PKS, membolehkan mereka untuk maju dalam perjalanan kemampanan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan