KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Rantau Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) terus memainkan peranan penting dalam membentuk ekonomi global dan landskap perdagangan, kata Menteri Perdagangan Korea Selatan Inkyo Cheong.
Beliau berkata kepentingan itu lebih ketara walaupun pada masa sama negara-negara anggota APEC berdepan cabaran bertindan yang memberi kesan ke atas landskap perdagangan global.
"Ketika perdagangan rentas sempadan dan rantaian bekalan terus berkembang, ketidakpastian yang semakin meningkat sebaliknya memberi tekanan kepada ekonomi global dan landskap perdagangan.
“Berdasarkan senario perdagangan global yang mencabar, peranan APEC telah menjadi semakin penting berbanding sebelum ini.
“Malah, inilah sebabnya dunia memberi perhatian terhadap mesyuarat Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan (MRT) bagi APEC kali ini,” katanya dalam kenyataan bersempena mesyuarat itu di Jeju, Korea Selatan.
Sehubungan itu, sejajar dengan banyak cabaran yang membelenggu sistem perdagangan pelbagai hala, Cheong berkata hasil daripada mesyuarat itu akan turut ketara di serata dunia.
Mesyuarat yang menghimpunkan barisan menteri perdagangan mewakili 21 negara anggota APEC, dimulakan dengan gesaan kerjasama dan pemulihan kepercayaan dalam sistem perdagangan multilateral.
Cheong turut menekankan perbincangan di Jeju akan memberi tumpuan kepada pemulihan multilateralisme dan hala tuju ekonomi APEC untuk masa depan di bawah tema “Building a Sustainable Tomorrow - Connect, Innovate, Prosper".
Topik utama termasuk inovasi kecerdasan buatan (AI) untuk memudahkan perdagangan, masa depan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan sistem perdagangan multilateral serta cara untuk menggalakkan kemakmuran melalui perdagangan mampan.
“Perbincangan mengenai sistem perdagangan pelbagai hala, termasuk WTO, telah lama menjadi tumpuan mesyuarat MRT dan Ketua Pengarah WTO Dr Ngozi Okonjo-Iweala akan memperkenalkan topik untuk dibincangkan.
“Oleh kerana terdapat pelbagai pendapat mengenai peranan dan hala tuju WTO, saya teruja untuk mendengar semua pandangan itu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial