EKONOMI > BERITA

PROSPEK MAKROEKONOMI, PEMBAHARUAN STRUKTUR BERI SOKONGAN KEPADA RINGGIT - GABENOR BNM

16/05/2025 03:31 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Prospek makroekonomi Malaysia yang positif dan pelaksanaan pembaharuan struktur yang berterusan akan memberikan sokongan jangka sederhana kepada ringgit, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata faktor luaran dijangka terus mempengaruhi kadar pertukaran ringgit. 

“BNM kekal komited untuk memastikan pasaran pertukaran asing domestik berfungsi dengan teratur,” katanya ketika mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2025 di sini hari ini. 

Pada suku pertama 2025, ringgit kekal stabil secara keseluruhan.

Kadar pertukaran efektif nominal (NEER) berbanding mata wang rakan dagangan utama Malaysia meningkat sedikit sebanyak 0.01 peratus.

Beliau berkata ringgit turut menambah nilai sebanyak 0.8 peratus berbanding dolar AS dan pergerakan ini didorong terutamanya oleh dolar AS yang melemah kerana ketidakpastian berhubung dasar perdagangan AS yang semakin meningkat.

“Hal ini menyebabkan peningkatan jangkaan terhadap pertumbuhan ekonomi AS yang lebih perlahan,” katanya.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.2705/2920 berbanding dolar AS daripada 4.2795/2870 pada Khamis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan