KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Malaysia berada antara kedudukan tertinggi bagi penggunaan alat peranti digital di Asia, dengan purata selama lapan jam dan 17 minit sehari, yang mengakibatkan sindrom "text neck” iaitu sejenis penyakit baharu yang kerap dialami golongan remaja dan dewasa terutama dalam pascapandemik COVID-19.
Malaysia telah merekodkan kadar penggunaan TikTok ketiga tertinggi di Asia Tenggara, dengan purata 121 video ditonton setiap hari.
Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) dalam kenyataan memaklumkan kadar penggunaan peranti digital di Malaysia adalah sangat tinggi terutama dalam kalangan golongan muda, dan hal itu menjadi penyumbang utama kepada peningkatan sindrom “text neck” di negara ini.
Menurut SMCV, Kementerian Kesihatan melaporkan 67 peratus rakyat Malaysia mengalami sakit leher pada suatu ketika dalam hidup mereka, menjadikannya aduan muskuloskeletal kedua paling biasa di negara ini, namun ramai yang mengabaikan ketidakselesaan itu sebagai sesuatu yang bersifat sementara atau berkaitan dengan stres.
“Ergonomik tempat kerja yang lemah memburukkan lagi masalah ini, kerana ramai yang terpaksa bekerja berjam-jam di meja dan persekitaran tempat kerja yang tidak kondusif. Tekanan postur yang berpanjangan ini menyebabkan kadar pengambilan cuti sakit dalam persekitaran korporat semakin meningkat, pengurangan produktiviti dan penurunan prestasi di tempat kerja,” menurut kenyataan itu.
Pakar Perunding Ortopedik, Trauma dan Pakar Bedah Tulang Belakang di SMCV Dr Chang Kok Chun menerusi kenyataan itu berkata sindrom berkenaan berlaku akibat kecederaan tekanan berulang yang disebabkan oleh postur kepala yang sering ke hadapan dalam tempoh lama semasa menunduk untuk melihat skrin.
“Apabila seseorang mengalami “text neck”, otot dan sendi di leher mereka akan mengalami ketegangan berterusan akibat postur yang salah. Dari masa ke masa, ia boleh menyebabkan keletihan otot dan sendi, ketidakselesaan, dan jika tidak dirawat boleh mengakibatkan kerosakan struktur badan,” katanya.
Dr Chang menggesa rakyat Malaysia supaya lebih peka terhadap kesakitan dialami dan tidak mengabaikannya bagi mengelak komplikasi kesihatan lain.
Beliau berkata kesakitan itu akan menyebabkan kekejangan otot pelindung, yang akan kelihatan pada ujian sinar-X sebagai pelurusan tulang belakang
“Jika diabaikan, hal ini boleh menyebabkan kemerosotan pramatang tulang belakang, termasuk penipisan cakera antara dua segmen vertebra, serta perkembangan tonjolan tulang dan artritis sendi faset dari masa ke masa, yang juga dikenali sebagai spondilosis servikal (kehausan pada sendi dan cakera di leher),” katanya.
Dr Chang turut memberi amaran keadaan yang tidak dapat dipulihkan itu boleh menyebabkan mampatan saraf atau saraf tunjang, yang menyebabkan rasa sakit, kebas atau nyeri seperti pin dan jarum di lengan, lengan bawah dan tangan, manakala dalam kes lebih serius, ia boleh menyebabkan kelemahan dan lumpuh pada kedua-dua anggota atas dan bawah badan, sekali gus boleh menjejaskan kesihatan mental dan kualiti hidup.
Beliau berkata menguruskan sindrom “text neck” biasanya melibatkan gabungan fisioterapi, perubahan gaya hidup dan dalam beberapa kes juga melibatkan penggunaan ubat-ubatan, selain menekankan amalan ergonomik yang konsisten melalui pengurangan masa skrin, menggunakan postur yang betul serta menggabungkan senaman relaksasi leher yang kerap sepanjang hari.
Walaupun ramai menyedari risiko sindrom "text neck", Dr Chang mengakui tabiat buruk sukar diubah disebabkan beban kerja berat, yang memaksa seseorang mengabaikan penjagaan leher dan tulang belakang yang betul.
Beliau menggalakkan semua orang untuk mula membuat perubahan positif seperti memulakan postur badan yang betul, persediaan ergonomik dan latihan relaksasi leher untuk memelihara kesihatan tulang belakang.
Sementara itu, Ahli Fisioterapi dan Pengurus Perkhidmatan Perubatan Pemulihan SMCV Thomas Chua Wei Yeh berkata satu daripada isu postur yang paling biasa dilihat ialah postur kepala ke hadapan dan ketidaksejajaran boleh berlaku apabila seseorang itu membongkokkan kepala ke hadapan sebanyak 45 darjah lalu meningkatkan beban pada tulang belakang serviks daripada hanya lima kepada 22 kilogram.
Beliau berkata ia menambahkan lebih 1,000 jam tekanan pada tulang belakang pengguna peranti digital dalam tempoh setahun, dan boleh membawa kepada gejala seperti sakit leher dan bahu, sakit dan pening kepala, kerengsaan saraf tulang belakang yang menyebabkan rasa kebas atau kesemutan pada tangan, serta artritis degeneratif awal kepada leher.
“Fisioterapi termasuk terapi manual, latihan semula postur dan latihan yang disasarkan untuk melegakan ketegangan, membina kekuatan, dan memulihkan penjajaran badan yang betul memainkan peranan penting dalam kedua-dua fasa pemulihan dan pencegahan.
“Walaupun kebanyakan pesakit mula melihat peningkatan dalam tempoh tiga hingga enam sesi fisioterapi, mereka yang mempunyai keadaan yang lebih teruk mungkin memerlukan pelan rawatan yang lebih lama untuk mencapai hasil rawatan yang berkekalan,” katanya.
Chua berkata pelan rawatan disesuaikan dengan gaya hidup dan permintaan fizikal setiap individu yang menumpukan untuk mengehadkan masa skrin yang berterusan, menggalakkan tabiat mesra postur dan mengoptimumkan penggunaan beg galas untuk mengelakkan ketegangan yang tidak perlu pada leher dan bahagian belakang badan.
“Pekerja pejabat perlu mengutamakan tempat kerja ergonomik dan mencampurkan kaedah rehat mobiliti seperti rutin regangan untuk mengurangkan keletihan otot dan tekanan sendi.
“Kemajuan dipantau melalui gabungan penilaian klinikal dan maklum balas daripada pesakit. Kami menilai pergerakan sendi bagi menentukan tahap mobiliti tulang belakang serviks dan toraks, serta menjalankan ujian kekuatan otot di bahagian utama yang menyokong postur badan,” katanya.
Chua turut memberi amaran terhadap jenis pergerakan yang memburukkan simptom sindrom ‘text neck’ terutamanya semasa pemulihan seperti senaman perut, mengangkat beban di atas kepala atau menaip dalam tempoh yang lama dengan leher membengkok, di samping menjelaskan rehat dapat membantu mengurangkan kesakitan dengan segera, tetapi pergerakan, pembetulan postur, dan penguatan otot dan sendi adalah kunci kepada pemulihan jangka panjang.
-- BERNAMA
Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial