EKONOMI > BERITA

WAWASANITA METERAI 11 LOI PADA EXPO IRAN 2025, INTAI PELUANG EKSPORT PRODUK MAKANAN HALAL

12/05/2025 11:25 AM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Persatuan Usahawan Wawasan Wanita Malaysia (Wawasanita), menandatangani 11 Surat Niat (LOI) dengan pelbagai industri dan syarikat Iran pada Pameran Export Potential of Iran (Iran Expo 2025) ketujuh yang berlangsung di negara itu baru-baru ini.

Presidennya Dr Norlaili Alias berkata perjanjian tersebut merangkumi kerjasama dalam aspek pembekalan produk, pembangunan jenama bersama, pengedaran eksklusif bagi pasaran Malaysia dan Asia Tenggara termasuk kolaborasi untuk mengimpot produk dari Iran seperti teknologi kesihatan, produk herba/organik dan makanan kesihatan.

“Misi kami ke Expo Iran 2025 sebagai pembeli membuahkan hasil yang sangat memberangsangkan dengan eksplorasi bersama pelbagai negara lain seperti Rusia, Turkiye dan Kenya. Wawanasita juga berjaya mendapat "connection" (menjalin hubungan perniagaan) dengan pelabur dan usahawan Iran khususnya.

“Hasil ini telah membuka pintu kerjasama strategik dengan syarikat tempatan (Iran) yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang seperti perubatan berteknologi tinggi, hasil galian mineral, kekacang sepert badam, walnut, herba untuk kesihatan, kosmetik semulajadi, dan makanan berasaskan bahan organik,” katanya kepada Bernama.

Norlaili berkata, selain menjalin hubungan perniagaan, usaha sama pemindahan teknologi serta pertukaran kepakaran antara dua negara dalam pelbagai industri juga dibincangkan bersama.

“Lawatan perdagangan seperti ini merupakan satu peluang dan pendedahan kepada keseluruhan ahli kami diperingkat domestik, import, maturity (kematangan) dan juga untuk anak muda menceburi bidang perniagaan di peringkat antarabangsa.

“Inilah antara hasil pencapaian berimpak tinggi dalam pendedahan ilmu baharu daripada misi perdagangan Iran ini,” katanya.

Sementara itu, pengarah eksekutif konsortium Qazvin yang berpangkalan di Iran, Dr Navid Akhavan berkata beliau berharap Malaysia boleh menjadi hab untuk mengeksport produk detergennya (bahan cuci) ke seluruh Asia Tenggara.

“Daripada perbincangan kami dengan pengimport Malaysia (terdahulu) kami melihat Malaysia berpotensi besar untuk menjadi hab eksport (produk detergen) kami untuk Asia Tenggara kerana lokasinya yang baik, serta permintaan tinggi,” katanya.

Pada masa ini, beliau berkata konsortium itu hanya mengeksport produknya ke Afghanistan dan Iraq dan berharap dapat meluaskan jangkauannya ke pasaran antarabangsa lain.

“Kami juga amat berterima kasih kepada penganjur Iran Expo 2025 kerana menganjurkan acara sebegini untuk pengeksport seperti kami dan membantu kami menembusi pasaran antarabangsa sekali gus mengembangkan perniagaan kami,” katanya.

Navid berkata ketika ini terdapat tujuh syarikat detergen dari wilayah Qazvin yang berdaftar di bawah konsortium tersebut.

Iran Expo 2025, yang berlangsung antara 28 April-2 Mei 2025, adalah acara perdagangan tahunan terbesar di negara itu dan menyediakan peluang terbaik kepada peserta untuk berhubung dengan pasaran global.

Pameran itu yang menarik lebih 2,500 peniaga, pengarah ekonomi dan ketua dewan perniagaan dari lebih 100 negara merupakan kerjasama antara Kementerian Industri, Lombong dan Perdagangan serta Kementerian Luar Negeri, dengan Pertubuhan Pembangunan Perdagangan Iran dan institusi kerajaan dan swasta yang lain.

 Norlaili berkata dengan kesedaran pengguna terhadap gaya hidup sihat dan bahan semulajadi yang semakin meningkat produk Iran mempunyai tempat tersendiri dalam pasaran tempatan.

“Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia juga kini lebih terbuka untuk mengedarkan produk niche dan premium. Kategori yang berpotensi besar termasuk produk kesihatan berasaskan herba tumbuhan, kosmetik semulajadi, makanan organik dan produk aromaterapi.

“Produk Iran sangat berkualiti tinggi, tapi tak ramai yang tahu. Jadi kita ada kelebihan untuk jadi perintis di pasaran ini. Usahawan muda boleh “rebrand” (jenamakan semula), dan jual ikut gaya tempatan,” katanya.

Menurutnya, Wawasanita turut melihat potensi eksport yang sangat positif bagi produk Malaysia ke pasaran Iran, terutamanya dalam bidang makanan halal, produk kesihatan berasaskan tropika seperti minyak kelapa dara dan herba Melayu, serta kosmetik halal tempatan.

“Iran amat menghargai produk yang memiliki bersijil halal Malaysia yang berkualiti tinggi, dan ini membuka peluang besar kepada usahawan Malaysia, terutamanya PKS yang ingin melebarkan sayap ke pasaran Asia Barat,” katanya.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan