EKONOMI > BERITA

IMPORT DURIAN CHINA DARI MALAYSIA DIUNJUR NAIK 15-20 PERATUS PADA 2025 - MAYCHAM

02/05/2025 09:51 PM

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

BEIJING, 2 Mei (Bernama) – Jumlah import durian China dari Malaysia dijangka meningkat antara 15 dan 20 peratus tahun ini, didorong oleh permintaan pengguna yang mampan walaupun berdepan cabaran berkaitan cuaca baru-baru ini Malaysia, kata Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia di China (MayCham).

Pengerusinya,  Loh Wee Keng berkata permintaan daripada pengguna di China terus mengatasi bekalan terutamanya bagi jenis premium seperti Musang King dan D24.

“Walaupun hujan lebat di Malaysia mengakibatkan buah gugur sebelum waktunya, saya menjangkakan keseluruhan jumlah eksport tahun ini meningkat 15 hingga 20 peratus lebih tinggi berbanding tahun lepas.

“Malah, permintaan kekal kukuh dalam pasaran China,” katanya kepada Bernama.

Katanya, durian Musang King dari Malaysia terus menarik minat yang tinggi, khususnya dalam kalangan pelanggan buah-buahan premium di China.

“Ketika ini, amat mustahil untuk mendapatkan Musang King Gred A di bawah RM30 sekilogram pada harga ladang.

“Pada luar musim seperti Mei, harga boleh meningkat kepada RM80 sekilogram. Bagi D24 pula, harga paling rendah adalah kira-kira RM15 sekilogram,” katanya.

Menurut Kementerian Pertanian China, negara itu mengimport 19.25 juta kilogram durian dari Malaysia berjumlah US$212.05 million (RM1 billion) antara Januari dan Disember 2024.

Loh berkata, 15 tahun lepas, harga ladang bagi Musang King sejuk beku adalah kira-kira RM25 sekilogram dan boleh turun serendah RM12 sekilogram ketika musim puncak.

“Manakala bagi D24 sejuk beku, harga tertinggi boleh mencecah RM15 sekilogram dan paling rendah RM3 sekilogram,” katanya.

Beliau berkata Malaysia mula mengeksport durian ke China sejak 2010.

“Kami tidak bersaing dengan durian dari Thailand kerana harga dan kualiti merupakan perkara berasingan.

“Kami sebenarnya bersaing dengan buah kiwi dan ceri selain produk dari Jepun seperti anggur dan strawberi,” katanya.

Loh yang mempelopori eksport durian sejuk beku Malaysia ke China pada 2011, iaitu selepas mendapat kelulusan Beijing berkata pemain industri perlu mempertahankan integriti dan jenama durian Malaysia di China.

“Ada peniaga yang menyalahgunakan label durian kampung dan menjualnya sebagai Musang King untuk mendapatkan keuntungan yang lebih tinggi.

“Tindakan itu boleh merosakkan. Durian kampung pun ada pasarannya jika dijual secara jujur.

“Kita perlu mendidik pengguna di China mengenai ciri-ciri sebenar Musang King, D24 dan lain-lain,” tegasnya.

Beliau juga berkata kerajaan China sangat menyokong dan memberikan kelonggaran terhadap eksport durian dari Malaysia kerana hubungan diplomatik yang kukuh. 

Justeru, katanya, peniaga mesti mengekalkan reputasi dan hubungan dua hala.

Mengulas mengenai percubaan menanam Musang King di pulau Hainan, China, Loh berkata hasilnya tidak sepadan dengan standard durian yang ditanam di Malaysia.

“Memang pada awalnya ia mengujakan, tetapi ia hilang dengan cepat.

“Rasanya berbeza kerana tanah dan iklim. Rakan saya juga cuba menanamnya di sini, tetapi ia tidak berjaya.

“Musang King Hainan tidak dapat menggantikan yang asli dari Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan