KANGAR, 2 Mei (Bernama) -- Qari dari Perak Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan qariah Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi mewakili Terengganu muncul johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2025/1445H.
Masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000 dan tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji berserta piala, cenderamata dan sijil penyertaan.
Mereka juga menerima satu dinar emas Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) Gold dan telefon pintar kurniaan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid serta kerajaan negeri.
Kedah dinobatkan sebagai juara keseluruhan sementara bagi kategori hafazan 30 juzuk berserta tafsir, Muhammad Adib Ahmad Rozaini dari Perak dan Putri Auni Khadijah Mohd Hanif dari Kelantan diumumkan sebagai pemenang masing-masing bagi bahagian lelaki dan perempuan.
Selain itu, Muhammad Imran Hussin dari Selangor meraih tempat pertama untuk kategori hafazan 20 juzuk bagi bahagian lelaki manakala bahagian perempuan disandang Siti Khadijah Anuar dari Selangor.
Bagi kategori hafazan 10 juzuk berserta taranum pula, johan menjadi milik Mohamad Khayruddin Zakwan Jaimis dari Sabah bagi bahagian lelaki manakala Shashahani Irdina Shamsul Rizal dari Selangor mengungguli bahagian perempuan.
Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menyempurnakan majlis penutup tilawah di Dewan 2020 di sini malam ini.
Turut berangkat Raja Perempuan Perlis dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee yang mengumumkan para pemenang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial