EKONOMI > BERITA

INDUSTRI MICE DIUNJUR TARIK LEBIH 25 JUTA PELANCONG, JANA PENDAPATAN RM76.8 BILION

03/05/2025 12:01 PM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) - Industri acara perniagaan atau Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) diunjur merekodkan ketibaan lebih 25 juta pelancong dan menjana jumlah pendapatan mencecah RM76.8 bilion susulan Kepengerusian ASEAN-Malaysia tahun ini dan Tahun Melawat Malaysia tahun depan.

Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata kedua-dua acara tersebut terutamanya dilihat bakal memberikan manfaat kepada Malaysia bagi menggerakkan lonjakan ekonomi berteraskan rakyat dan juga industri berteraskan acara perniagaan. 

Menurutnya, WTCKL dan pusat konvensyen lain di Malaysia, secara keseluruhannya memainkan peranan menyumbang secara langsung atau tidak langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara yang bergantung kepada tiga indikator utama iaitu pembangunan ekosistem perniagaan, penciptaan pekerjaan dan ekonomi komuniti. 

“Industri acara perniagaan ataupun industri konvensyen merupakan satu sumber ekonomi baharu berteraskan perkhidmatan yang saya fikir Malaysia boleh menjadi katalis (pemangkin) ataupun menjadi penyumbang kepada keyakinan dunia untuk mengambil tenaga kerja Malaysia satu ketika nanti. 

“Selain itu, bila adanya acara (contoh seperti) di WTCKL, aktiviti ekonomi misalnya dari segi e-hailing, pengangkutan awam, tempahan hotel, makanan dan minuman, serta aktiviti pelancongan setempat akan melimpah,” katanya pada program Ruang Bicara Aspirasi Ekonomi Bernama TV bertajuk ‘Industri Konvensyen Pemacu Ekonomi Strategik’ malam tadi.

Beliau berkata sebelum COVID-19 melanda negara, industri MICE menyumbang sebanyak RM86.14 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia, dengan ketibaan pelancong antarabangsa melebihi 26 juta pada 2019. 

Sementara itu, Irmohizam berkata peralihan ekonomi global ketika ini terutamanya dengan situasi perang perdagangan dan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) perlu diberikan perhatian serius.

“Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak terkecuali (daripada impak itu) perlu melihat bagaimana industri acara perniagaan dapat memainkan peranan strategik dalam ekosistem ekonomi negara, bagi memastikan negara terus muncul sebagai hab destinasi acara perniagaan serantau.

“Ini saya juruskan bukan hanya dari segi pameran dan konvensyen semata-mata tetapi acara seperti konsert dan persidangan yang boleh memberikan kehadiran khususnya pelawat antarabangsa, delegasi antarabangsa yang berprofil tinggi termasuk delegasi penceramah, pelabur dan penggiat industri seluruh dunia datang ke Malaysia,” katanya. 

Menurutnya, industri acara perniagaan bukan sahaja mampu memberi impak kepada penjenamaan Malaysia, malah turut meningkatkan keyakinan pelabur secara langsung dan tidak langsung untuk datang ke negara ini berteraskan keyakinan mereka terhadap ekosistem sedia ada.

Beliau memberi contoh Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang akan diadakan di WTCKL pada akhir bulan Mei ini yang bakal menghimpunkan pelbagai penerbit, pencipta buku dan delegasi dari seluruh dunia.

“Sudah tentu acara ini akan mewujudkan satu ekosistem yang menyumbang kepada penjanaan permintaan terhadap penginapan hotel, perkhidmatan, pengangkutan, makanan dan minuman serta aktiviti pelancongan di Malaysia,” kata Irmohizam.

- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan