AM > BERITA

Tindakan Segera Perlu, Lindungi Hidupan Liar Dan Pengguna Jalan Raya

13/05/2025 12:30 AM

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Lintasan hidupan liar merupakan infrastruktur penting yang boleh membantu mengurangkan insiden tragis haiwan dilanggar oleh kenderaan semasa melintas jalan untuk mencari makanan, kata aktivis kebajikan haiwan Tan Sri Lee Lam Thye.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lee menyatakan bahawa kemalangan sedemikian bukan sahaja menyebabkan kehilangan hidupan liar yang berharga tetapi juga mendatangkan risiko besar kepada pemandu, yang boleh mengakibatkan kecederaan dan dalam beberapa kes melibatkan kematian.

Sehubungan itu, beliau menggesa tindakan segera oleh pihak berkuasa bagi melindungi kedua-duanya, hidupan liar dan pengguna jalan raya, antaranya dengan membina jejantas atau laluan bawah tanah di kawasan yang dikenal pasti terdapat aktiviti hidupan liar, terutamanya berhampiran kawasan hutan, yang boleh mengurangkan kemalangan dengan ketara.

“Lintasan ini perlu direka berasaskan corak pergerakan spesies tempatan seperti tapir, gajah, dan haiwan lain yang terancam,” katanya merujuk kepada insiden menyayat hati di Lebuhraya Timur-Barat semalam, apabila seekor gajah betina dirakam enggan meninggalkan anaknya yang mati dan terperangkap di bawah lori.

Tambah Lee pihak berkuasa juga boleh mempertimbangkan untuk memasang pagar di sepanjang lebuh raya bagi menghalakan haiwan ke tempat lintasan yang selamat dan mengelakkan mereka daripada berkeliaran di jalan raya, selain memasang papan tanda yang jelas menunjukkan kawasan itu sering dilalui hidupan liar, disertai dengan pengurangan had laju.

“Pihak berkuasa perlu bekerjasama rapat dengan pakar hidupan liar dan pertubuhan pemuliharaan untuk mengenal pasti koridor hidupan liar yang kritikal dan memasukkannya dalam perancangan infrastruktur negara,” katanya.

Lee turut menekankan kepentingan pendidikan kepada orang awam mengenai pemuliharaan hidupan liar dan keperluan untuk memandu dengan berhati-hati di kawasan yang sering dilalui hidupan liar bagi  meningkatkan kesedaran serta tanggungjawab dalam kalangan pengguna jalan raya.

“Dengan melabur dalam pembinaan lintasan hidupan liar dan mengambil langkah proaktif untuk melindungi warisan semula jadi, kita dapat memastikan keselamatan hidupan liar dan rakyat. Sekarang adalah masanya untuk bertindak sebelum lebih banyak nyawa, baik manusia mahupun haiwan hilang akibat kemalangan yang boleh dicegah.

“Marilah kita berusaha ke arah masa depan yang pembangunan dan alam semula jadi dapat wujud bersama secara harmoni,” katanya.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan