Oleh Rosemarie Khoo
KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit tetapi beralih kepada tinggi kemudiannya pada Isnin, didorong oleh sentimen positif aliran masuk dana oleh pelabur asing sepanjang minggu lepas, kata penganalisis.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.84 mata kepada 1,544.33 daripada 1,542.49 pada Jumaat lepas.
Indeks petunjuk pasaran susut 0.71 mata kepada 1,541.78 pada sesi pembukaan.
Jumlah dagangan sebanyak 123.73 juta saham bernilai RM65.76 juta.
Suasana pasaran positif, dengan 233 kaunter untung mengatasi 90 kaunter rugi, 244 kaunter tidak berubah, 1,778 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pelabur berasa lega dengan kembalinya belian asing, selepas mencatatkan aliran keluar yang tidak pernah berlaku sebelum ini sejak awal 2025.
Beliau berkata dengan bursa tempatan ditutup melebihi paras 1,540 minggu lepas, indeks petunjuk pasaran dijangka menguji semula paras 1,600 dalam masa terdekat.
“Oleh itu, kami percaya indeks akan diniagakan dalam julat 1,540 hingga 1,555 hari ini. Ia juga perlu diberi perhatian bahawa ringgit telah mengukuh kepada RM4.26 berbanding dolar AS,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Wall Street ditutup tinggi pada Jumaat, disokong oleh data senarai gaji bukan ladang yang lebih baik daripada jangkaan pada April, mengurangkan kebimbangan mengenai kemelesetan Amerika Syarikat (AS).
Kadar pengangguran kekal pada 4.2 peratus manakala hasil 10 tahun AS naik kepada 4.30 peratus.
Di Hong Kong, Indeks Hang Seng (HSI) naik melebihi paras 22,500 berikutan sentimen didorong oleh optimisme mengenai potensi rundingan perdagangan antara China dan AS, selain pendapatan yang kukuh daripada syarikat gergasi teknologi seperti Xiaomi dan Alibaba.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals naik 5.0 sen kepada RM3.47, Sunway, QL Resources dan Telekom, masing-masing menambah 3.0 sen kepada RM4.82, RM4.83 dan RM6.92, YTL Power International meningkat 2.0 sen kepada RM3.45 dan YTL Corporation meningkat 1.0 sen kepada RM1.94.
Dalam dagangan aktif, West River meningkat setengah sen kepada 39.5 sen, Sentoria mendatar pada setengah sen, Nationgate naik 5.0 sen kepada RM1.57, OCR berkurangan setengah sen kepada 3.5 sen dan Jiankun menambah setengah sen kepada 3.0 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 28.80 mata kepada 11,518.18, Indeks FBMT 100 naik 25.02 mata kepada 11,282.26 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 33.43 mata kepada 11,423.78.
Indeks FBM 70 melonjak 82.25 mata kepada 16,356.79 dan Indeks FBM ACE naik 20.40 mata kepada 4,669.60.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 18.86 mata kepada 18,259.81, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.83 mata kepada 153.12, Indeks Tenaga menambah 1.35 mata kepada 696.32 dan Indeks Perladangan menokok 12.73 mata kepada 7,296.50.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial