EKONOMI > BERITA

RINGGIT MENINGKAT BERBANDING DOLAR AS

05/05/2025 11:42 AM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif and Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Ringgit meningkat berbanding dolar AS pada Isnin berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu rendah, didorong oleh sentimen berhati-hati daripada Rizab Persekutuan AS mengenai kadar faedah dan perkembangan baharu perdagangan berkaitan China yang menyokong mata wang tempatan, kata penganalisis.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.2520/2615 berbanding dolar AS daripada 4.2560/2600 pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat ringgit dijangka kekal positif dalam masa terdekat berikutan nilai dolar AS diunjurkan kekal lemah berdasarkan ketidaktentuan dasar tarif dan impaknya terhadap ekonomi AS.

“Mata wang tempatan mencatatkan prestasi yang menggalakkan berbanding dolar AS apabila ia meningkat kepada 4.2568, naik 1.39 peratus pada Jumaat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sidang khas Parlimen hari ini juga akan menjadi tumpuan utama pasaran berikutan mereka ingin melihat pelan untuk mengurangkan impak kejutan tarif yang dimulakan oleh pentadbiran Presiden AS Donald Trump.

“Antara perkara utama ialah kemungkinan semakan semula unjuran pertumbuhan dan langkah jangka pendek yang akan diumumkan oleh kerajaan,” katanya.

Di peringkat global, katanya pentadbiran Trump telah menyatakan kesediaannya untuk menurunkan kadar tarif ke atas China pada masa akan datang berikutan kebimbangan mengenai kemerosotan perdagangan global.

Beliau berkata pasaran tenaga kerja AS dilihat berdaya tahan di sebalik kejutan tarif tersebut, mendorong kepada kenaikan harga saham dan hasil bon pada Jumaat lepas.

“Bagaimanapun, Indeks Dolar AS (DXY) tidak dipengaruhi oleh perkembangan tersebut apabila indeks itu susut sebanyak 0.05 peratus kepada 99.984 mata.

“Walaupun data senarai gaji bukan ladang AS mengatasi jangkaan pasaran pada April, purata bulanan menunjukkan kadar pewujudan pekerjaan merosot kepada 133,000 dalam tempoh empat bulan pertama 2025 berbanding purata bulanan sebanyak 176,000 dalam tempoh sama tahun lepas,” katanya.

Oleh itu, katanya mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 6 hingga 7 Mei ini akan dipantau berikutan peniaga dan pelabur menilai langkah Fed seterusnya mengenai kadar faedah. 

Dilaporkan Fed dijangka menurunkan kadar faedah pada Jun, dengan peniaga mengambil kira lebih 100 mata asas penurunan menjelang akhir tahun.

Dalam negara, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama dan mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9389/9459 daripada 2.9437/9467 pada Jumaat lepas, mengukuh berbanding euro kepada 4.8133/8240 daripada 4.8297/8342 sebelum ini dan naik berbanding pound kepada 5.6424/6550 daripada 5.6639/6692.

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2778/2857 daripada 3.2862/2898 pada Jumaat lepas dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.8502/9011 daripada 12.8697/8903.

Mata wang tempatan turut meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.64/7.67 daripada 7.65/7.67 pada Jumaat lepas dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 258.6/259.3 daripada 258.8/259.3.

-- BERNAMA  


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan