KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) mempunyai ruang untuk mempertimbangkan penurunan kadar dasar semalaman (OPR) berikutan inflasi keseluruhan pada masa ini berada di bawah purata 12 bulan, kata CIMB Investment Bank Bhd (CIMB IB).
Dalam nota penyelidikan hari ini, CIMB IB menjangkakan BNM akan menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.75 peratus pada 9 Julai.
Menurutnya langkah ini dijangka tidak dilaksanakan pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Mei bagi memberi ruang kepada bank pusat untuk menilai lebih banyak data makroekonomi, terutamanya berkaitan perdagangan luar berikutan tarif "Hari Pembebasan" serta rundingan perdagangan yang sedang dijalankan dengan Amerika Syarikat (AS).
“Jangkaan penurunan kadar ini khususnya berhasrat menangani kebimbangan pertumbuhan yang dikaitkan dengan tarif perdagangan dikenakan AS serta ketidaktentuan perdagangan global yang lebih luas,” katanya.
Mesyuarat MPC pada Julai turut menandakan berakhirnya tempoh penangguhan tarif AS selama 90 hari.
CIMB IB berpendapat tekanan harga yang didorong oleh permintaan akan kekal perlahan memandangkan inflasi tidak termasuk bahan api menyederhana kepada 1.5 peratus tahun ke tahun pada Mac 2025 daripada 1.6 peratus pada Februari 2025 manakala inflasi perkhidmatan pada 2.0 peratus, iaitu di bawah purata 12 bulan sebanyak 2.1 peratus.
“Selain itu, beberapa petunjuk terutamanya berkaitan pasaran buruh termasuk pertumbuhan gaji dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan serta aktiviti pengambilan pekerja, terus mencerminkan trend yang sederhana,” katanya.
MIDF Amanah Investment Bank Bhd pula mengekalkan unjuran semasa dengan inflasi Malaysia akan meningkat kepada 2.5 peratus pada 2025 berbanding 1.8 peratus pada 2024.
Menurutnya jangkaan ini banyak bergantung kepada kesan inflasi yang mungkin berlaku berikutan perubahan dasar oleh kerajaan terutamanya rasionalisasi subsidi selanjutnya dengan peralihan kepada subsidi bersasar bagi RON95 menjelang pertengahan 2025.
“Secara umumnya, kami menjangkakan punca utama inflasi lebih tinggi berikutan perubahan dari segi penawaran,” katanya dalam nota penyelidikan.
Inflasi indeks harga pengguna keseluruhan Malaysia menyederhana pada 1.4 peratus tahun ke tahun bagi Mac 2025 iaitu di bawah anggaran MIDF Amanah sebanyak 1.6 peratus hingga 1.8 peratus serta konsensus pasaran 1.6 peratus -- kadar terendah sejak Februari 2021.
Menurut bank pelaburan itu, tekanan kenaikan harga yang rendah pada masa ini bagi kategori makanan, bukan makanan dan inflasi teras menunjukkan kesan perubahan dasar kerajaan pada tahun lepas terutamanya subsidi bersasar, tarif utiliti yang lebih tinggi dan kenaikan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan, terhadap kadar inflasi keseluruhan adalah kekal minimum.
“Walaupun rasionalisasi subsidi bahan api dan perubahan dasar lain yang dirancang dilaksanakan tahun ini, unjuran kami menunjukkan inflasi sederhana akan berterusan pada suku kedua 2025,” katanya.
MIDF Amanah berkata unjuran ini berdasarkan jangkaan bahawa tekanan kos yang terkawal dan kestabilan harga minyak mentah akan dapat mengehadkan sebarang tekanan yang ketara terhadap peningkatan inflasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial