KUCHING, 24 April (Bernama) -- Bintulu Port Holdings Bhd (BPHB) sedang membangunkan infrastruktur penyimpanan dan pemerangkapan karbon (CCS) di Pelabuhan Bintulu dan Pelabuhan Perindustrian Samalaju sebagai sebahagian daripada strategi kemampanan jangka panjangnya.
BPHB berkata hab pelabuhan yang dilengkapi infrastruktur CCS itu bakal menjadi pelengkap kepada pelan hala tuju penyahkarbonan di Malaysia, meletakkan BPHB sebagai pemboleh utama dalam pengurusan karbon dan logistik tenaga mampan serantau.
“BPHB kekal teguh dalam menyampaikan nilai strategik merentasi tonggak perniagaan terasnya, iaitu mengukuhkan infrastruktur, mempercepatkan transformasi digital dan memperkasa peranannya sebagai pemboleh progresif dalam pengurusan karbon dan penyelesaian tenaga mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, BPHB juga meneruskan initiatif untuk mengendalikan operasi kawasan zon bebas di kedua-dua pelabuhan bagi membuka peluang pelaburan baharu dan meningkatkan kemudahan perdagangan.
“Proses menaiktaraf Terminal Kontena Antarabangsa Bintulu sudah sedang dijalankan sejajar dengan piawaian antarabangsa dalam kecekapan, ketangkasan dan kemampanan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena dengan mesyuarat agung tahunan (AGM) ke 29 syarikat itu.
Menurut BPHB, projek Pangkalan Bekalan Gas dan Minyak Borneo kekal sebagai asas cita-cita kumpulan itu untuk meletakkan Sarawak sebagai hab serantau bagi logistik tenaga luar pesisir dan menyokong ekosistem tenaga Malaysia menerusi penyelesaian logistik bersepadu dan memenuhi keperluan masa depan.
Pada AGM tersebut, BPHB mengumumkan bayaran dividen RM69.0 juta (15 sen sesaham), yang dianggap pendekatan pengurusan modal seimbang yang memberikan pulangan kepada pemegang saham sambil menyokong pelaburan semula bagi pertumbuhan masa akan datang.
Ketika mesyuarat tersebut pemegang saham turut dimaklumkan pada tahun lepas, BPHB memperoleh beberapa kejayaan operasi yang mendorong peningkatan perolehan keseluruhan kumpulan sebanyak 8.13 peratus kepada RM888.47 juta, mencerminkan prestasi teguhnya dan pengurusan operasi yang berdisplin.
Pencapaian tahun lepas termasuk jumlah pengeluaran kargo sebanyak 51.94 juta tan, menetapkan penanda aras prestasi yang baharu dan trafik kapal mencecah rekod 8,026 panggilan, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Pelabuhan Bintulu sebagai hab logistik maritim yang kritikal di rantau ini.
“Keputusan ini membuktikan kemampuan BPHB untuk mengendalikan keadaan operasi yang dinamik sambil menyampaikan nilai ketara menerusi kecemerlangan operasi dan fokus yang strategik,” kata kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial