EKONOMI > BERITA

ALLIANCE BANK HAMPIR CAPAI SASARAN PINJAMAN KEMAMPANAN BAHARU RM15 BILION, DORONG ESG PKS

07/04/2025 11:11 AM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Alliance Bank Malaysia Bhd kini hampir mencapai RM15 bilion bagi perniagaan perbankan mampan baharu untuk projek hijau sekali gus menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjelang tahun kewangan sasaran 2027.

Ketua Pegawai  Strategi dan Transformasi Kumpulan Aaron Sum berkata pihaknya telah memberikan kemudahan perbankan mampan baharu RM14 bilion dengan memperkasakan PKS untuk menerima guna amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Beliau berkata Alliance Bank dapat melakukan usaha itu dalam tempoh dua tahun dan 10 bulan sahaja, dari November 2022 hingga Januari 2025, sebahagian besarnya didorong rangkaian komprehensif penyelesaian  kewangan yang diperibadikan dan melangkaui penyelesaian perbankan.

Penyelesaian termasuk pilihan pembiayaan khusus dan skim pembiayaan hijau daripada Bank Negara Malaysia (BNM), seperti kemudahan peralihan karbon rendah, kemudahan berteknologi tinggi (teknologi) dan hijau serta gadai janji hijau, katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

“Kami berada di landasan untuk mencapai sasaran kami lebih awal daripada jadual dan akan mengumumkan sasaran baharu dalam masa terdekat.

“Ini mencerminkan permintaan memandangkan lebih banyak pihak mengamalkan amalan ESG dan memerlukan pembiayaan,” katanya.

Ketika menjelaskan bahawa bank itu terus memperkasakan PKS untuk usaha ESG masing-masing, Sum berkata: “banyak pihak kini beralih kepada bank dan geran kerajaan berbanding pembiayaan sendiri, (yang) meningkatkan jumlah kami.”

 

Adakah PKS Memahami ESG?

 

Memetik edisi kedua laporan ESG tahunan Alliance Bank bertajuk “The Path to Sustainable Impact - Sectoral Insights of Malaysian SMEs” (Laporan ESG 2.0) yang diterbitkan pada Januari tahun ini, Sum berkata tahap kesedaran dalam kalangan PKS melonjak kepada 80 peratus daripada 14 peratus, manakala kadar penerimaan ESG meningkat kepada 60 peratus daripada 28 peratus dalam tempoh 18 bulan, berbanding data dalam laporan ESG 1.0 yang diterbitkan pada 2023.

Beliau berkata peningkatan kesedaran dan penerimaan itu didorong oleh faktor seperti tekanan pengawalseliaan dan pematuhan, penjimatan kos, pertumbuhan perolehan, kedudukan pasaran serta dorongan untuk inovasi.

“Satu daripada sebab utama peningkatan penerimaan ESG adalah inovasi, yang melonjak daripada 25 peratus pada 2023 kepada 43 peratus pada masa ini. Ini menunjukkan perniagaan tidak lagi melihat ESG hanya sebagai keperluan pematuhan.

“Mentaliti telah berubah daripada ‘saya terpaksa melakukannya’ kepada menerima ESG sebagai peluang untuk berinovasi, mencipta produk baharu dan mengamalkan pembuatan mampan yang memberi manfaat kepada alam sekitar, mengurangkan jejak karbon, menurunkan kos serta menggalakkan penyumberan tempatan yang bertanggungjawab -- akhirnya merangsang ekonomi tempatan,” katanya.

Hal itu merupakan perkembangan positif memandangkan PKS kini melihat ESG lebih daripada sekadar pematuhan dan mengaitkannya dengan manfaat keuntungan dan kerugian yang jelas sekali gus membantu mereka mengakses pasaran baharu.

Laporan ESG 2.0 juga menunjukkan 38 peratus PKS yang mengamalkan ESG berjaya meningkatkan perolehan lebih daripada 50 peratus, membuktikan potensi amalan mampan dalam memacu keuntungan.

Kesedaran dalam sektor pembuatan meningkat daripada 18 peratus kepada 84 peratus, sektor pembinaan (12 peratus kepada 77 peratus), sektor perkhidmatan (12 peratus kepada 78 peratus), dan sektor pertanian (19 peratus kepada 61 peratus).

 

Fokus Alliance Bank terhadap PKS

 

Sum berkata dari segi kesediaan, kalangan syarikat besar lazimnya lebih maju dalam menerima pakai dan mematuhi kawal selia antarabangsa.

Beliau berkata bagi perniagaan kecil, aspek kesediaan adalah lebih mencabar kerana kekurangan kepakaran dan sumber yang boleh dikhususkan untuk memastikan pematuhan sepenuhnya.

“Oleh itu, usaha Alliance Bank adalah melangkaui kepimpinan pemikiran dan penyelidikan dengan menyediakan alat praktikal untuk membantu PKS dalam usaha peralihan mereka.

“Fokus kami adalah membantu peserta yang lebih kecil yang memerlukan bantuan yang paling besar. Syarikat besar mempunyai masa yang mencukupi untuk bersedia kerana mereka diberikan notis awal dan mempunyai lebih banyak sumber berbanding dengan perniagaan lebih kecil,” katanya.

Beliau turut berkata PKS memerlukan bimbingan dan sokongan untuk mengharungi perubahan itu.

Pihaknya menyediakan alat diagnostik serta bengkel bagi membantu PKS membangunkan pelan hala tuju peralihan ESG mereka sendiri, katanya.

Bank itu juga melaksanakan pendekatan pragmatik untuk PKS memulakan perjalanan kemampanan dengan membantu perniagaan mengamalkan langkah kemampanan yang efektif dari segi kos seperti meningkatkan kecekapan tenaga.

Alliance Bank juga menghubungkan usaha ESG dengan manfaat keuntungan dan kerugian yang nyata.

“Apabila pemilik PKS melihat insentif kewangan secara langsung, mereka lebih cenderung untuk bertindak. Hal ini bukan sekadar pematuhan malah juga pertumbuhan perniagaan dan keuntungan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan