KUCHING, 12 April (Bernama) -- Prestasi operasi Cahya Mata Sarawak Bhd (CMS) terus menunjukkan peningkatan ketara meskipun berdepan prosiding undang-undang yang sedang berlangsung, kata Penasihat Undang-Undang Kumpulan, Izzam Ibrahim.
Beliau berkata pengurusan syarikat kekal komited dalam memastikan kelangsungan perniagaan serta menguatkan keyakinan para pemegang kepentingan.
“Kami mempunyai pasukan pengurusan yang berdedikasi dan cukup kuat untuk menghadapi cabaran ini dan jelas dengan apa yang perlu dicapai.
“Dalam masa yang sama, kami menghormati kakitangan, rakan kongsi serta komuniti seperti mana yang sewajarnya,” katanya semasa sidang media pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri CMS di sini, hari ini.
Izzam turut mengumumkan CMS sedang mengatur langkah dalam usaha memupuk amalan kemampanan iaitu dengan buat kali pertamanya melaksanakan pelaporan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) secara menyeluruh tahun ini, selaras dengan keperluan mandatori Bursa Malaysia.
Beliau menegaskan pasukan CMS melaburkan masa dan usaha yang besar bagi memastikan ketepatan dan ketelusan pelaporan tersebut, mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat terhadap amalan perniagaan yang bertanggungjawab.
“Kami akan pastikan setiap laporan dibuat dengan tepat dan mengikut garis panduan yang ditetapkan, inilah cara kami terus maju walaupun terdapat pelbagai gangguan di sekeliling,” katanya.
Pada 5 Mac lepas, Timbalan Pengerusi dan Pengarah CMS Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib memfailkan satu saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuching bagi mendapatkan hak memeriksa buku dan rekod syarikat serta lima anak syarikatnya.
Susulan itu, dilaporkan bahawa CMS telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Mahmud Abu Bekir dan enam individu lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial