PUTRAJAYA, 7 April (Bernama) -- Pengeluar bahan kimia khusus industri minyak dan gas, SumiSaujana Group Bhd (SumiSaujana) hari ini memeterai perjanjian pelesenan dan pengkomersialan dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Perjanjian tersebut bagi memanfaatkan teknologi yang dimiliki oleh MPOB untuk pengilangan dan pengkomersialan bahan perantara berasaskan sawit, poliol berasaskan sawit dan poliol poliester berasaskan bio.
Majlis memeterai perjanjian itu menandakan satu langkah penting dalam usaha Malaysia memperluaskan aplikasi industri berasaskan sawit dan mengukuhkan kedudukan negara sebagai pemain utama dalam pasaran bahan kimia hijau global.
Teknologi yang dilesenkan oleh MPOB itu merupakan hasil penyelidikan dalaman selama bertahun-tahun termasuk bahan perantara berasaskan sawit, poliol dan poliol poliester berasaskan bio yang menawarkan produk boleh diperbaharui iaitu alternatif kepada bahan kimia berasaskan petroleum.
Kesemua sebatian itu digunakan secara meluas dalam penghasilan poliuretana yang menyumbang kepada pelbagai sektor termasuk automotif, pembinaan, pelekat, salutan dan barangan pengguna.
SumiSaujana dan MPOB dalam satu kenyataan bersama berkata pasaran poliuretana global diunjurkan mencecah US$86.28 bilion pada 2024, manakala bahan perantara berasaskan sawit dianggarkan bernilai US$17.0 bilion pada 2022, sekali gus menyerlahkan potensi pasaran yang besar bagi semua inovasi itu.
Selain itu, kerjasama tersebut mencerminkan strategi pembangunan dan penyelidikan MPOB yang lebih meluas bagi mengukuhkan nilai komersial minyak sawit menerusi aplikasi hiliran bernilai tinggi.
Pada masa sama, ia turut menyokong Pelan Induk Perkongsian Awam-Swasta Malaysia 2030, yang bertujuan meletakkan Malaysia sebagai hab global bagi teknologi berasaskan bio yang mampan.
Mengulas mengenai kerjasama itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif SumiSaujana Norazlam Norbi berkata perjanjian dengan MPOB tersebut merupakan langkah bermakna dalam strategi jangka panjang syarikat itu.
“Kami melihat nilai yang besar dalam mengintegrasikan inovasi berasaskan sawit yang mampan ke dalam portfolio produk kami, membolehkan kami menembusi pasaran baharu sambil kekal seiring dengan peralihan global ke aras pembuatan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Kami berbangga dapat memainkan peranan dalam mengkomersialkan teknologi Malaysia dalam memberi impak di peringkat global,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata kerjasama itu bukan hanya melibatkan pemindahan teknologi, ia turut mengukuhkan peranan sinergi awam-swasta dalam pembangunan industri sawit yang mampan.
“Ia menyediakan peluang kepada pemain industri untuk meneroka potensi teknologi inovatif MPOB dan menyumbang kepada pertumbuhan industri kimia yang lebih mampan dan berdaya saing pada peringkat global.
“Dengan memperluaskan potensi hiliran minyak sawit, kami bukan sahaja meningkatkan rantaian nilainya tetapi juga mempromosikan peranan Malaysia dalam pembuatan prihatin terhadap iklim,” katanya.
Justeru, kerjasama itu bukan sahaja mempercepatkan penggunaan komersial poliol berasaskan sawit, tetapi juga mengukuhkan usaha negara dalam mentransformasi industri menerusi bahan kimia hijau.
Malah, ia membuktikan potensi minyak sawit melangkaui kegunaan dalam sektor makanan dan menunjukkan bagaimana inovasi apabila digandingkan dengan rakan industri yang tepat, mampu membawa kepada penciptaan nilai ekonomi serta alam sekitar yang sebenar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial