KUCHING, 21 April (Bernama) -- Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus kekal sebagai tulang belakang dalam landskap ekonomi Sarawak, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau berkata kecekapan, kreativiti dan inovasi PKS secara konsisten memacu pertumbuhan inklusif dan mampan merentas semua sektor.
“Kerajaan Sarawak kekal komited menyokong PKS kita melalui dasar yang strategik, insentif dan program pembinaan kapasiti, supaya PKS boleh terus berkembang, bersaing dan menerajui dalam ekonomi global hari ini yang sentiasa berubah.
“Ketika kita mengharungi dunia yang dibentuk oleh perubahan teknologi yang pesat dan ketidaktentuan ekonomi maka, daya tahan dan transformasi digital menjadi lebih penting berbanding sebelum ini,” katanya ketika melancarkan Anugerah Kecemerlangan Industri Premier Sarawak (PSIEA) 2025 di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Malcolm Mussen Lamoh.
Awang Tengah, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata kecemerlangan industri adalah kunci untuk merealisasikan matlamat Sarawak menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Sehubungan itu, saya menggesa lebih banyak syarikat khususnya perusahaan tempatan untuk meningkatkan dan menerajui dalam mencapai visi ini.
“Kita, bersama-sama, boleh membina ekosistem perniagaan yang kukuh, sedia masa depan dan terhubung secara global yang memberikan manfaat kepada seluruh warga Sarawak,” katanya.
Beliau berkara PSIEA akan terus berperanan sebagai pemacu utama pertumbuhan perindustrian dan transformasi ekonomi dengan meningkatkan kualiti dan daya saing organisasi di Sarawak.
Sehingga kini, 94 organisasi daripada sektor pembuatan dan perkhidmatan telah menyertai PSIEA.
PSIEA 2025, bertemakan ‘Alam Sekitar, Kemampanan, Kemakmuran Ekonomi dan Masyarakat Inklusif’, dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia, dengan kerjasama Persekutuan Persatuan Perniagaan Sarawak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial