AM > BERITA

Pengunaan Lencana Jalur Gemilang Langkah Berkesan Tingkatkan Semangat Cintakan Negara

21/04/2025 06:43 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Pemakaian lencana Jalur Gemilang dalam kalangan pelajar merupakan langkah berkesan untuk menyemai semangat patriotisme dan menanam rasa cintakan negara sejak di bangku sekolah.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata usaha ini menjadi asas kukuh dalam mendidik rakyat yang setia, prihatin dan bangga dengan identiti kebangsaan.

"Saya berasa amat bangga melihat anak-anak ini menyarung lencana Jalur Gemilang dengan penuh semangat dan keyakinan. Kita mahu melahirkan generasi yang sentiasa sayang, kasih dan sentiasa ingin berjuang untuk negara.

"Negara ini milik kita bersama. Semangat kebersamaan inilah yang perlu terus disemai demi masa depan Negeri Sembilan dan Malaysia yang lebih gemilang," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Majlis Bandaraya Seremban (MBS) hari ini.

Aminuddin berkata dengan penekanan lambang atau lencana Jalur Gemilang itu, semangat kekitaan dalam kalangan pelajar dapat diperkuatkan membawa hingga mereka dewasa kelak.

Sementara itu di Kelantan, Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri Mat Lazim Mohammad berkata bagi sekolah-sekolah yang tidak berada di bawah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM) di negeri itu, termasuk di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK), mereka digalakkan untuk melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang dalam kalangan pelajar mereka.

Beliau berkata JPN terbuka kepada penyertaan sekolah-sekolah YIK atau mana-mana institusi pendidikan lain yang berminat untuk melaksanakan inisiatif ini.

“Namun pelaksanaannya perlu mematuhi piawaian atau garis panduan yang telah ditetapkan melalui Surat Pekeliling Ikhtisas KPM,” katanya kepada pemberita pada Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang Institusi Pendidikan di bawah KPM Peringkat Negeri Kelantan, di Kota Bharu hari ini.

Mengulas lanjut Mat Lazim berkata antara tatacara pemakaian lencana yang perlu dipatuhi adalah pemakaian di bahagian kanan dada, selari dengan tanda nama; dipakai dalam keadaan kemas, bersih dan tidak rosak; serta tidak boleh digunakan pada pakaian yang tidak sesuai atau secara sewenang-wenangnya.

Sementara itu 313,570 pelajar sekolah menengah dan rendah di seluruh Kelantan telah mengenakan lencana Jalur Gemilang secara serentak pagi ini, sebagai simbol penyatuan dan cinta kepada negara.

Sebelum ini, KPM memaklumkan bahawa pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar akan dilaksanakan secara berperingkat di semua institusi pendidikan di bawah kelolaan kementerian itu, bermula hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan