EKONOMI > BERITA

CIMB KOMITED SEDIAKAN RM10 BILION, PACU ZON EKONOMI KHAS JOHOR-SINGAPURA

21/04/2025 02:37 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) komited menyediakan kemudahan pembiayaan RM10 bilion untuk memacu integrasi ekonomi dan membuka peluang rentas sempadan di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Susulan itu, CIMB memperkenalkan Pasport Kewangan ASEAN, pendekatan sehenti untuk memperkasakan perniagaan dengan pengalaman perbankan rentas sempadan yang lancar, memberikan sokongan menyeluruh termasuk kepakaran pengetahuan kawal selia tempatan merentas setiap peringkat pertumbuhan.

Dalam kenyataan pada Isnin, CIMB menjelaskan pihaknya berada pada kedudukan strategik untuk memangkin pertumbuhan merentas korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), di samping mempercepat aliran masuk pelaburan untuk menyokong inisiatif dua hala yang bersifat transformasi.

“Sebagai sebuah bank yang mempunyai operasi dalam pelbagai pasaran, saranan holistik CIMB menghubungkan pelanggan dengan ekosistem rantaian nilai yang teguh, memudahkan hubungan antara pelabur, agensi kerajaan, pihak kawal selia dan pemegang kepentingan utama lain untuk membolehkan penyertaan pantas dalam pasaran dan persediaan operasi.

“Ini termasuk mempercepat penyertaan melalui pembukaan akaun laluan hijau dengan proses yang dipermudah untuk pelanggan Malaysia-Singapura, serta penyelesaian perbankan khusus seperti SMEBizReady, GreenBizReady, HalalBizReady dan pengiriman wang rentas sempadan, untuk memenuhi keperluan operasi dan pengembangan yang pelbagai,” tambahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Novan Amirudin berkata JS-SEZ mewakili langkah transformasi dalam kerjasama ekonomi serantau, mempererat kesalinghubungan dan membuka laluan baharu untuk pertumbuhan mampan antara Malaysia dan Singapura di samping mengukuhkan daya tahan rantau ini terhadap ketidaktentuan global.

“Sebagai institusi kewangan bertumpuan ASEAN yang terkemuka, kami komited terhadap tujuan kami untuk memajukan pelanggan dan masyarakat dengan memanfaatkan potensi besar JS-SEZ melalui penyelesaian perbankan rentas sempadan bersepadu kami, khidmat nasihat strategik dan ekosistem perkongsian yang meluas,” katanya.

Bagi menyokong inisiatif itu, CIMB telah menubuhkan pasukan khusus 30 jurubank berpengalaman di Singapura dan Malaysia untuk membantu pelanggan di seluruh rantau -- termasuk Indonesia, Thailand, China dan Hong Kong -- untuk memanfaatkan peluang yang wujud daripada JS-SEZ, katanya.

CIMB mempunyai operasi yang meluas di Johor dengan 28 cawangan, manakala enam cawangan daripadanya mempunyai keupayaan dan kepakaran khusus untuk menyokong pertumbuhan JS-SEZ.

Dalam pada itu, CIMB juga kerap melakukan inisiatif berimpak tinggi, termasuk kerjasama pelaburan langsung asing dan domestik serta lawatan suai kenal ke Johor, menyediakan risikan pasaran yang penting untuk perniagaan dan akses langsung bagi pemegang kepentingan utama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan