EKONOMI > BERITA

SIREHEMAS SASAR JUAL 236,000 UNIT PRODUK KESIHATAN DI MALAYSIA, INDONESIA DAN SINGAPURA

15/04/2025 07:10 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Sirehemas Pharma Sdn Bhd (Sirehemas) dengan kerjasama Euglena Co Ltd (Euglena) menyasar menjual lebih 236,000 unit produk kesihatan terbaharunya Euglena Royal Algae Drink dan Euglena Collagen Shot di pasaran Malaysia, Indonesia serta Singapura pada tahun ini.

Pengarah Eksekutif Sirehemas, Nik Juzailah Juhari berkata buat masa ini jualan produk syarikat itu hanya tertumpu pada platform dalam talian seperti Shopee dan Tiktok sebelum dirancang diperluaskan ke farmasi dan kedai serbaneka.

“Kita menyasarkan sebanyak 36,000 kotak dijual di Malaysia, manakala Singapura dan Indonesia masing-masing sebanyak 100,000 kotak pada tahun ini,” katanya pada sidang media sempena pelancaran produk tersebut, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) Mohammad Hazani Hassan, Pengarah Seksyen Program Khas dan Seksyen Perdagangan Digital  Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Asnor Vidya Nor Azmi dan Pengasas Bersama dan Rakan Eksekutif Euglena, Dr Kengo Suzuki.

Mengulas lanjut Nik Juzailah berkata setakat ini kedua-dua produk tersebut telah berjaya dieksport ke beberapa negara luar seperti Indonesia, Kemboja dan Jepun.

Sementara itu Mohammad Hazani Hassan berkata pihaknya komited untuk mempromosikan syarikat tempatan yang terlibat dalam pengeluaran makanan diperakui halal di negara ini.

"Kita melihat kurangnya syarikat tempatan pergi (pasarkan produk) ke luar negara. Banyak makanan (dihasilkan) tetapi ia hanya 'stuck' (terhad) di Malaysia.

"Jadi dengan peranan kami membantu mempromosi serta memberi bantuan dari segi fasiliti maka kita boleh membawa lebih banyak syarikat tempatan ke luar negara," katanya.

Asnor Vidya ketika berucap berkata, kerjasama antara Sirehemas dan Euglena, syarikat berpangkalan di Jepun itu merupakan bukti kepada sinergi antara inovasi Malaysia dan bioteknologi Jepun yang bertaraf dunia.

"Di Matrade, misi kami adalah untuk mengangkat produk dan syarikat Malaysia ke pentas antarabangsa. Melalui kerjasama Malaysia dengan Jepun ini, manfaat tersebut bukan sahaja diperkenalkan kepada pengguna di negara ini malah bersedia untuk dikembangkan ke peringkat serantau dan antarabangsa.

"Ini adalah langkah yang tepat pada masanya memandangkan industri kesihatan, kesejahteraan dan kecantikan antarabangsa terus berkembang pesat.dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap produk semula jadi," katanya.

Sementara itu menerusi ucapannya, Dr Suzuki turut melahirkan keyakinan beliau terhadap potensi produk tersebut di Malaysia dan berharap dapat melihat produk tersebut menembusi pasaran serantau serta global.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan