EKONOMI > BERITA

IOI PROPERTIES SAMBUT ULANG TAHUN KE-30 DI JOHOR DENGAN TAWARAN HADIAH PERCUTIAN GLOBAL

11/04/2025 02:47 PM

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- IOI Properties Group Bhd (IOIPG) meraikan ulang tahun ke-30 di Johor dengan melancarkan kempen 30 Tahun Bersama dan memberi tawaran eksklusif kepada pencari hartanah serta peluang memenangi barangan mewah, peralatan rumah dan pakej percutian meliputi sehingga 30 destinasi antarabangsa dengan pembelian hartanah terpilih bermula 1 April.

Ketua Pegawai Operasi Segmen Hartanah Wilayah Selatan Lim Beng Yeang berkata dalam mengenang kembali aspek saling mempercayai dan kerjasama yang terjalin selama tiga dekad, syarikat itu berharap untuk meneruskan kerjasama dan kemakmuran dalam tempoh yang lebih panjang.

"Bagi memperingati peristiwa yang penting ini, kami melancarkan kempen 30 Tahun Bersama untuk memberi ganjaran kepada pelanggan dengan peluang untuk memenangi percutian sekali dalam seumur hidup bagi mengelilingi dunia," katanya dalam kenyataan.

Menurut Lim, menerusi kempen ini, pencari hartanah akan ditawarkan insentif menarik untuk menyertai projek IOIPG di seluruh Johor.

Ini termasuk subsidi pengubahsuaian sehingga RM30,000, peluang tiga kali untuk cabutan roda bertuah, rebat sehingga dua peratus, perabot dan peralatan elektrik percuma untuk projek terpilih, serta geran perniagaan sehingga RM300,000 untuk produk komersial terpilih.

Beliau berkata semua pembeli hartanah kediaman, komersial dan perindustrian terpilih (unit kilang sahaja) yang membuat tempahan unit sepanjang tempoh kempen dan menyelesaikan semua urusan jualan sebelum 30 Jun 2025, layak menyertai cabutan bertuah bulanan kempen ini.

"Hadiah termasuk barangan mewah dan peralatan elektrik yang menarik. Hadiah utama yang akan ditentukan melalui Cabutan Utama pada Julai 2025 akan menyaksikan seorang pemenang bertuah membawa pulang pakej percutian untuk dua orang,  layak sehingga ke 30 destinasi antarabangsa," kata Lim.

Beliau berkata IOIPG pertama kali menembusi Johor melalui pembangunan utamanya Bandar Putra Kulai pada 1995 yang kekal sebagai perbandaran terbesar dan paling dikenali di negeri ini.

"Berkeluasan 2,298.614 hektar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM10 bilion, ini diikuti dengan Bandar IOI Segamat pada 1996 yang merangkumi 200.319 hektar bagi fasa pertama dan seterusnya berkembang kepada 245.644 hektar.

"Sehingga kini, kumpulan mempunyai baki kira-kira 2,049.733 hektar simpanan tanah di Johor. Dari semasa ke semasa, pembangunan ini berkembang menjadi bandar yang matang, maju dan berdaya tahan berikutan lokasi strategik, perhubungan yang baik dan pelan induk yang menyeluruh," kata Lim.

Sementara itu, Ketua Jualan dan Pemasaran Kumpulan serta Penjenamaan Nicole Lee berkata Johor merupakan destinasi menarik untuk pelaburan serantau berikutan lokasi strategiknya, infrastruktur yang kukuh dan pertumbuhan ekonomi, khususnya dengan pembentukan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

"JS-EZ dihasilkan untuk menarik pelaburan bernilai tinggi dan penciptaan pekerjaan merangkumi pelbagai sektor seperti perubatan, farmaseutikal, penerbangan, logistik, pendidikan, perkhidmatan kewangan, tenaga dan ekonomi digital.

"Daripada rumah bertanah eksklusif sehingga pangsapuri perkhidmatan, pejabat kedai dan unit kilang industri, portfolio kami di selatan menawarkan pelbagai kategori hartanah bagi setiap keperluan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan